Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu kekejaman haiwan: NParks semak semula hukuman; gesaan AP, kumpulan kebajikan makin lantang

Berikutan beberapa kes kekejaman dan penganiayaan haiwan yang dihadapkan ke mahkamah sejak kebelakangan ini, Lembaga Taman Negara (NParks) memberitahu Mediacorp ia sedang menyemak semula hukuman untuk memastikan ia "terus berkesan dalam mencegah" tindakan seumpama itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Isu kekejaman haiwan: NParks semak semula hukuman; gesaan AP, kumpulan kebajikan makin lantang

Beberapa ekor kucing dijumpai dengan kesan luka akibat dikelar di kawasan Ang Mo Kio pada April. (Gambar: Ang Mo Kio South Feeders and Caregivers

Diterbitkan : 31 Oct 2021 04:06PM Dikemas Kini : 31 Oct 2021 04:08PM

SINGAPURA: Berikutan beberapa kes kekejaman dan penganiayaan haiwan yang dihadapkan ke mahkamah sejak kebelakangan ini, Lembaga Taman Negara (NParks) memberitahu Mediacorp ia sedang menyemak semula hukuman untuk memastikan ia "terus berkesan dalam mencegah" tindakan seumpama itu.

Beberapa pertubuhan kebajikan haiwan sudah menggesa bagi sekatan lebih tegas, termasuk perintah pembatalan maksimum kelayakan yang lebih panjang sehingga seumur hidup bagi pelaku yang didapati bersalah, melarang mereka daripada memelihara haiwan.

Larangan itu, yang berkuat kuasa di bawah Akta Haiwan dan Burung-burung pada 2015, tidak membenarkan seseorang daripada memelihara mana-mana haiwan atau kumpulan haiwan selama sehingga 12 bulan.

Anggota Parlimen (AP) Louis Ng memberitahu Mediacorp beliau sudah memfailkan satu soalan parlimen berhubung topik tersebut bagi persidangan minggu hadapan selepas beliau dihampiri oleh Persatuan Kebajikan Kucing.

Encik Ng bertanya kepada Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee sama ada Pemerintah akan menimbangkan untuk menaikkan tempoh perintah pembatalan maksimum kelayakan dan sama ada ia akan berunding dengan pihak berkepentingan serta masyarakat awam.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyelia NParks.

Encik Ng, yang mengasaskan Persatuan Kajian dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES), iaitu sebuah kumpulan pemuliharaan haiwan dan penyelamat hidupan liar, berkata bahawa larangan maksimum lebih panjang bertujuan untuk melindungi haiwan daripada dianiaya.

Dalam respons kepada Mediacorp, Cik Jessica Kwok, pengarah kumpulan pengurusan haiwan masyarakat di NParks, berkata semakan agensi itu akan mengambil pertimbangan maklum balas daripada pihak berkepentingan relevan serta masyarakat umum.

Perintah pembatalan kelayakan yang sedia ada "berfungsi sebagai satu pencegahan tambahan terhadap perbuatan kejam ke atas haiwan dan untuk melindungi kebajikan haiwan", jelas beliau.

Selain itu, pihak berkuasa juga akan meneliti semula tempoh penjara atau hukuman yang dikenakan ke atas pesalah.

Buat masa sekarang, mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan kejam terhadap haiwan boleh dipenjara sehingga 18 bulan atau didenda tidak melebihi S$15,000 atau kedua-duanya sekali. Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$30,000 atau kedua-duanya sekali.

Secara berasingan, mereka yang melanggar perintah pelucutan kelayakan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

GESA TEMPOH LARANGAN LEBIH PANJANG

Awal bulan ini dalam satu catatan blog, Cik Thenuga Vijakumar, presiden Persatuan Kebajikan Kucing, menyifatkan larangan maksimum sedia ada "jelas tidak mencukupi" dan "kurang walaupun sebagai satu langkah pencegahan praktikal terhadap mana-mana pendera haiwan".

Persatuan Kebajikan Kucing mencadangkan pendekatan dua serampang mata:

- Menaikkan tempoh larangan kepada sekurang-kurangnya lima tahun dan maksimum seumur hidup

- Memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala dengan pelaku yang disabit kesalahan namun sudah dibebaskan

Cik Thenuga menambah pemeriksaan susulan selama lima tahun akan memberikan masa dan data mencukupi untuk "menentukan corak tingkah laku atau membuat pemerhatian bermakna berhubung keadaan mental individu yang dibebaskan dan keupayaan mereka untuk menjaga haiwan peliharaan".

Kumpulan lain seperti Persatuan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA) bersetuju bahawa undang-undang seharusnya membenarkan larangan ke atas pemilikan haiwan peliharaan untuk dilanjutkan seumur hidup.

Dr Jaipal Singh Gill, pengarah eksekutif SPCA, berkata persatuan itu sudah meminta pada 2011 agar perintah larangan itu disertakan ke dalam undang-undang. Bagaimanapun, beliau menarik perhatian segelintir pesalah sudahpun dikenakan tempoh maksimum sejak perintah pembatalan kelayakan berkuat kuasa.

Dr Gill kemudian mencadangkan agar tempoh perintah itu mungkin boleh dipelbagaikan bergantung kepada keadaan setiap kes dengan kemungkinan untuk menyemaknya semula selepas beberapa tempoh.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa pada 2019 dan tahun ini, SPCA dan ACRES sudah membuat rayuan bersama kepada NParks agar undang-undang tersebut dipinda.

Ia berhubung kes kekejaman serius di mana persatuan-persatuan itu merasakan bahawa pesalah seharusnya dikenakan tempoh larangan lebih lama.

Cik Christine Bernadette dari 'Causes for Animals' (Singapura), iaitu sebuah badan amal kebajikan haiwan, berkata jika seorang pesalah dibenarkan untuk memiliki haiwan peliharaan lagi, ia seharusnya di bawah penyeliaan pihak ketiga.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa orang ramai masih boleh mencari jalan untuk mengelakkan peraturan dan undang-undang seumpama itu seperti mendapatkan haiwan peliharaan di bawah nama seseorang yang lain.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan