Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu-isu radikalisme sekarang tidak terhad kepada isu agama semata; keluarga dan sekolah boleh mainkan peranan

Anggaran Waktu Membaca:

Byline: Nazirah Jamzuri & Syawal Yusoff

SINGAPURA: Sepanjang dua dekad lalu sejak penangkapan para anggota Jemaah Islamiyah (JI) di sini, bentuk radikalisasi itu sudah banyak berubah sejajar dengan kemajuan teknologi dan peredaran masa.

Maka itu, pendekatan dan usaha bagi mencegahnya juga perlu disesuaikan, menurut Ketua Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah, Ustazah Liyana Rosli Asmara.

Kini wadah online menjadi medan terbaru untuk naratif pengganasan disampaikan dan menjadikan seseorang itu menjadi radikal secara sendiri.

Ini menurut Ustazah Liyana Rosli Asmara, membawa cabaran yang lebih besar kerana kesannya jauh lebih hebat daripada radikalisasi berbentuk fizikal.

"Kalau kita lihat terutamanya kerana kebanyakan radikalisasi sendiri berlaku di wadah media sosial dan ia merupakan wadah yang kalau kita lihat di dalam konteks Singapura, hampir kesemua individu atau hampir semua rakyat Singapura dapat akses kepada media sosial selama 24 jam 48 jam kerana ia sentiasa berterusan dan ini merupakan cabaran yang terbesar," kata Ustazah Liyana.

BUKAN LAGI ISU AGAMA SEMATA

Cabaran kedua yang digariskan Ustazah Liyana adalah untuk memahami isu radikalisme hari ini.

"Isu radikalisme bukan hanya isu mengenai seseorang yang cetek pengetahuan agama kemudian tertarik dengan naratif-naratif agama dan ingin menegakkan agama itu kerana ingin menebus dosa dan sebagainya.

"Naratif radikalisasi sekarang amat luas, mereka juga menggunakan beberapa isu-isu yang hangat yang mana kebanyakan individu lazimnya akan rasa terkesan apabila membincangkan isu-isu tersebut," tambah Ustazah Liyana.

Ini merupakan peluang bagi kumpulan pengganas memutarbelitkan naratif tersebut dan menggunakannya untuk mempengaruhi individu-individu menjadi radikal dan melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.

Lantaran itu, Ustazah Liyana menegaskan adalah perlu untuk menyedari faktor-faktor yang membuat seseorang itu menjadi mudah terkesan.

"Ada beberapa faktor yang mungkin berunsur agama, jadi yang mana mungkin dalil-dalil diperlukan tapi terdapat juga faktor-faktor yang lain yang dia tidak semestinya kerana agama tetapi mungkin kerana trauma seseorang yang tidak pernah menerima keadilan dalam dirinya sendiri - mungkin mangsa buli, mungkin mangsa yang biasanya suaranya atau pendiriannya tak pernah dihargai," kata Ustazah Liyana.

Memandangkan isu-isu radikalisme hari ini menjangkaui isu-isu keagamaan, beliau menyarankan supaya golongan kaunselor atau individu yang berinteraksi dengan pihak terbabit perlu lebih terbuka dan peka untuk berbincang mengenai isu berkenaan.

Meskipun Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sudah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk mencegah dan melenyapkan ideologi pengganasan di Singapura, Ustazah Liyana berkata masih lebih banyak lagi yang boleh dilakukan.

SISTEM SOKONGAN PERLU UNTUK BANTU GOLONGAN GEN Z

Antaranya, beliau mengalu-alukan lebih banyak program bimbingan ataupun wadah perbincangan dan latihan buat keluarga supaya dapat membantu mengenalpasti tanda-tanda awal kecenderungan tersebut dalam diri anggota keluarga mereka.

"Amat penting untuk ahli keluarga juga untuk memain peranan supaya memudahkan kita mengesan sekiranya ada tanda-tanda awal yang mana anak-anak tersebut ada menunjukkan minat dengan isu-isu keganasan ataupun isu-isu yang boleh melibatkan diri dengan keganasan," kata Ustazah Liyana.

Seterusnya, lebih banyak wadah-wadah selamat perlu disediakan untuk belia membincangkan isu-isu sensitif, tanpa sebarang prasangka.

"Kalau kita lihat kes-kes yang lalu, belia-belia yang terlibat mereka adalah 'lone ranger'. Mungkin selama ini suara mereka tidak pernah didengar. Mereka tak dikesan atau mereka dilihat sebagai yang mungkin kurang penting dalam masyarakat. Jadi amat penting untuk kita sentiasa mencari jalan untuk mendampingi belia-belia tersebut," ujarnya.

Ustazah Liyana berharap di sesi-sesi itu, para belia boleh diberikan ruang untuk mengutarakan apa pun pendapat mereka, ataupun soalan mereka.

"Yang penting sekali bagi saya, jangam menilai soalan mereka. Biarkan mereka tanya soalan-soalan itu," jelas Ustazah Liyana.

Akhir sekali, beliau berharap pihak sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengesan tanda-tanda awal atau memantau sekiranya seseorang pelajar berkelakuan berlainan.

Justeru, guru-guru dan rakan sebaya perlu dilengkapi dengan latihan dan kemahiran untuk bertanyakan dan menghuraikan masalah-masalah yang lebih sensitif.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan