Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu ILS Lapangan Terbang Seletar antara S'pura, M'sia: Ini penjelasannya...

Mulai 3 Januari 2019, Singapura akan menguatkuasakan penggunaan Sistem Pendaratan Alatan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu ILS Lapangan Terbang Seletar antara S'pura, M'sia: Ini penjelasannya...

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Dec 2018 04:51PM Dikemas Kini : 13 Dec 2018 04:56PM

SINGAPURA: Mulai 3 Januari 2019, Singapura akan menguatkuasakan penggunaan Sistem Pendaratan Alatan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar.

Ini mencetuskan pertikaian dengan Malaysia, yang menyatakan bahawa laluan pesawat mengikut sistem tersebut akan mencerobohi ruang udaranya.

Malaysia juga menyatakan pesawat-pesawat dari lapangan terbang Seletar perlu melalui Pasir Gudang, Johor Baru. Ini dikatakan mungkin menjejas pembangunan bandar tersebut memandangkan had ketinggian akan dikenakan pada bangunan-bangunan serta struktur lain.

APA ITU ILS DAN MENGAPA PERLU GUNAKANNYA?

Sejak 10 tahun lalu, para juruterbang yang mendarat di Lapangan Terbang Seletar menggunakan pendekatan visual untuk sampai dan mendarat di landasan.

Ini bermakna mereka perlu mencari struktur-struktur yang berada di laluan penerbangan dan mengendalikan pesawat untuk mengelak struktur-struktur tersebut.

Lapangan Terbang Changi sudah menggunakan ILS. Prosedur ILS meningkatkan keselamatan, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana darjah penglihatan kurang jelas. Ini kerana ia dilengkapi sistem yang dapat menjangka keadaan dengan lebih cekap, berbanding pendekatan visual.

Ia membantu pesawat supaya kekal dalam laluan dan arah pendaratan yang ditetapkan. Bayangkan ia seperti alat yang membantu pemandu mengetahui lorong yang mana dan di mana untuk meletak kereta mereka.

APA YANG DILAKUKAN UNTUK MENYEDIAKAN SISTEM ILS ITU?

Apabila Singapura menyiapkan prosedur-prosedur ILS bagi ruang-ruang udara yang dikendalikannya, ia perlu berunding dengan semua pihak yang terjejas dengan ruang udara tersebut.

Singapura juga melakukan penilaian pada struktur-struktur di bawah laluan pesawat yang hendak mendarat bagi memastikan tiada yang menghadang laluan itu serta meneliti sama ada terdapat pembangunan-pembangunan baru yang sedang dipertimbangkan.

Memandangkan Singapura mengendalikan ruang udara Selatan Johor, ia perlu merujuk dengan Malaysia. Namun Malaysia mendakwa tiada rujukan dibuat.

S'PURA BANYAK KALI RUJUK KEPADA M'SIA

Sebaliknya, Singapura mendedahkan bahawa sudah memaklumkan kepada Malaysia tentang perancangan untuk menggunakan ILS seawal tahun lalu, iaitu 5 Disember 2017.

Kemudian pada 6 Jun tahun ini, Singapura meminta lagi maklum balas berhubung prosedur-prosedur ILS, namun tidak menerima sebarang jawapan daripada Malaysia.

Pada 7 Ogos, pihak berkuasa Singapura mengadakan pertemuan dengan Malaysia untuk memberikan perincian tentang ILS dan, sekali lagi, meminta maklum balas.

Sebagai tindakan susulan, Singapura mengirimkan emel pada 15 Ogos dan meminta agar maklum balas diberikan menjelang 27 Ogos. Namun masih tiada jawapan daripada Malaysia.

Hanya pada 29 November, Malaysia menyuarakan keprihatinannya, yang kemudian ditangani oleh Singapura. Singapura juga memberitahu Malaysia tentang niatnya untuk menerbitkan prosedur-prosedur ILS pada 1 Disember.

Prosedur-prosedur ILS bukanlah tidak boleh diubah. Sekiranya ada perancangan bagi pembangunan-pembangunan baru di Pasir Gudang, pelbagai pihak boleh berbincang dan prosedur tersebut boleh diubah.

FAKTA

Jarak antara Lapangan Terbang Seletar dengan perairan Pasir Gudang adalah 2.4 kilometer.

Titik mula pendaratan untuk ke Lapangan Terbang Seletar adalah 20 kilometer daripada landasan.

Laluan pesawat di ruang udara Selatan Johor sebenarnya sudah digunakan selama berdekad-dekad lamanya.

MENYANGKAL MAKLUMAT TIDAK TEPAT DALAM VIDEO M'SIA

Pada Selasa (11 Dis), Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke memuat naik sebuah video di laman Facebook beliau.

Video itu membangkitkan beberapa perkara untuk menggambarkan mengapa terdapat bantahan terhadap prosedur-prosedur ILS yang dimulakan di Lapangan Terbang Seletar.

Namun semalam (12 Dis), Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, memberitahu para wartawan, video itu "mengandungi beberapa maklumat tidak tepat".

MAKLUMAT TIDAK TEPAT 1:

Struktur-struktur yang terletak sejauh 3 kilometer daripada Lapangan Terbang Seletar tidak boleh dibina melebihi ketinggian 54 meter, manakala struktur-struktur yang terletak sejauh 6 kilometer tidak boleh dibina melebihi ketinggian 145 meter.

Ini bermakna sebuah kren setinggi 103 meter akan melanggar had ketinggian tersebut dan terdapat bangunan-bangunan tinggi lain di Johor.

TAPI, INI FAKTANYA:

Prosedur-prosedur ILS direka sejajar dengan piawai antarabangsa dan menimbangkan struktur-struktur sedia ada di Pasir Gudang.

Di bawah prosedur-prosedur tersebut, pesawat akan menggunakan satu laluan luncur (glide path) apabila mendarat. Di bawah laluan luncur itu terdapat Penilaian Halangan Permukaan atau lebih lebih mudah difahami sebagai had ketinggian tambahan sebagai langkah keselamatan - antara struktur-struktur yang ada dengan laluan luncur pesawat.

Struktur-struktur atau bangunan tidak boleh melepasi had ketinggian tambahan tersebut dan had ketinggian pula berbeza-beza bergantung kepada jarak laluan pendaratan.

Buat masa ini, had selamat bagi ketinggian penampan (buffer) pada jarak 3 kilometer adalah sekitar 94 meter, manakala had pada jarak 6 kilometer adalah sekitar 193 meter. Ini bermakna ketinggian struktur-struktur di laluan berkenaan tidak boleh melebihi had tersebut.

Buat masa ini, struktur paling tinggi di Pasir Gudang adalah 105 meter dan terletak pada jarak 3.6 kilometer dari Lapangan Terbang Seletar. Maka, ia berada di bawah had ketinggian sekitar 198 meter.

Had-had ketinggian tersebut boleh diubah suai jika perlu.

MAKLUMAT TIDAK TEPAT 2

Laluan pesawat menghalang pembinaan bangunan-bangunan tinggi di Pasir Gudang.

TAPI, INI FAKTANYA:

Sejauh ini, pembangunan di Pasir Gudang tidak terjejas oleh laluan pesawat yang sedia ada. Sebelum ini, Malaysia akan memaklumkan kepada Singapura tentang pembangunan-pembangunan baru. Singapura kemudian akan membuat penilaian dan menyesuaikan prosedurnya mana-mana perlu.

Setakat ini, Singapura tidak dimaklumkan tentang sebarang pembangunan baru yang akan menjejas laluan pesawat yang akan mendarat di Lapangan Terbang Seletar.

Bagi memastikan keselamatan penerbangan, menurut garis panduan antarabangsa, Malaysia perlu memaklumkan lebih awal tentang pembangunan-pembangunan baru.

MAKLUMAT TIDAK TEPAT 3

Menurut video yang diterbitkan di Facebook Anthony Loke, Pelabuhan Pasir Gudang akan tertakluk kepada risiko-risiko lebih tinggi dan pelbagai sekatan.

TAPI, INI FAKTANYA:

Kegiatan-kegiatan di pelabuhan dan laut tidak akan terjejas oleh laluan pesawat yang sedia ada. Sejauh ini, prosedur-prosedur standard sudah ditetapkan bahawa penerbangan perlu dilengahkan telebih dahulu sekiranya kapal-kapal besar perlu melalui Selat Johor.

MAKLUMAT TIDAK TEPAT 4

Sebelum ini, Lapangan Terbang Seletar tidak menggunakan ILS. Para juruterbang boleh mengendalikan sendiri pesawat sekiranya terdapat halangan dan tiada had ketinggian ditetapkan di kawasan laluannya. Dengan adanya ILS, had ketinggian wajib ditetapkan.

TAPI, INI FAKTANYA:

Oleh kerana para juruterbang menggunakan ILS, ini tidak bermakna mereka tidak dapat mengawal sepenuhnya pesawat. Mereka masih boleh melakukan sedemikian sekiranya terdapat keperluan keselamatan.

Di bawah piawai antarabangsa, pengendalian pesawat secara manual adalah salah satu syarat untuk mengelak bangunan-bangunan tinggi - tidak kira sama ada juruterbang menggunakan ILS atau prosedur manual.

MAKLUMAT TIDAK TEPAT 5

Menurut video itu lagi, laluan sekarang menjejas pembangunan di pelbagai kawasan, dari Pasir Gudang sehingga ke utara Ayer Tawar dan hampir ke Kota Tinggi.

TAPI, INI FAKTANYA:

Lebih jauh satu-satu kawasan daripada Lapangan Terbang Seletar, lebih tinggi had ketinggiannya.

Lantaran itu, kesannya pada pembangunan di darat juga berkurangan. Contohnya, pesawat-pesawat yang akan terbang pada ketinggian 1 kilometer di Ayer Tawar.

MAKLUMAT TIDAK TEPAT 6

Encik Loke berkata Malaysia tidak membantah Lapangan Terbang Seletar, "namun dari segi laluan pendaratan, ia tidak boleh melalui Pasir Gudang".

Beliau menggesa Singapura supaya menarik balik ILS dan mengubah laluan pesawat bagi kemasukan dari arah selatan (southern end).

TAPI, INI FAKTANYA:

Singapura sudah memaklumkan kepada Malaysia bahawa ILS adalah untuk pesawat-pesawat yang akan mendarat di Lapangan Terbang Seletar dari utara dan selatan.

Ini perlu kerana angin bertiup dari arah timur laut bagi separuh pertama setiap tahun dan dari arah barat daya pada separuh kedua setiap tahun.

Prosedur-prosedur ILS sudahpun digunakan bagi pesawat-pesawat yang datang dari utara. Oleh itu, terdapat keperluan bagi pendekatan penerbangan alatan bagi pesawat yang datang dari arah selatan. 

Sumber : Today/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa