Isu Calvin Cheng: PERGAS gesa pihak berkuasa ambil langkah lindungi perpaduan sosial SG
Demikian ditegaskan oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik ke Facebook pada Ahad (6 Apr).
Kenyataan itu dibuat dengan sokongan dan kata sepakat para Masyayikh, termasuk Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Ustaz Pasuni Maulan, Ustazah Dr Sukarti Asmoin, Ustaz Sallim Jasman, Ustaz Abdul Manaf Rahmat, dan Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.
Menerusi catatan itu, PERGAS menyuarakan kekecewaan yang mendalam terhadap kenyataan yang dibuat oleh Encik Cheng, khususnya sindiran bahawa sesetengah individu tertentu harus dihantar ke Gaza dan tidak dibenarkan pulang.
"(Kenyataan) ini sangat membimbangkan dan berisiko menggugat perpaduan sosial yang susah payah dicapai, yang menjadi definisi masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.
"Sebagai bekas figura awam, Encik Cheng berpengaruh dan boleh mendampingi ramai orang. Lantaran itu, adalah mengecewakan bahawa beliau bukannya menggalakkan wacana secara hormat, sebaliknya beliau memilih untuk mengejek dan mengasingkan rakan senegara, dengan ramai daripada mereka menzahirkan rasa empati dan perpaduan sebagai respons terhadap penderitaan kemanusiaan," menurut PERGAS lagi.
PERGAS menambah, kenyataan-kenyataan tersebut - yang dibuat di ruang awam - boleh ditafsirkan sebagai "tidak berperikemanusiaan, meremehkan dan sangat tidak sensitif", terutama sekali di tengah-tengah tragedi-tragedi berlarutan yang menyebabkan masyarakat seluruh dunia berduka.
Berdekad lamanya, Singapura bekerja keras untuk mewujudkan rasa saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat berbeza kepercayaan dan etnik. Kenyataan-kenyataan sedemikian bukan sahaja mengguris perasaan tetapi juga menimbulkan rasa tidak percaya dan perpecahan.
Ini mengganggu kehidupan aman yang dikongsi rakyat Singapura, dipandu oleh nilai-nilai dan prinsip negara yang dikongsi bersama, yang dibangunkan bersama-sama dan terus dilindungi dan ditegakkan, menurut PERGAS.
"Sebagai sebuah badan agama yang diamanahkan dengan panduan moral dan kepimpinan masyarakat, PERGAS menggesa pihak berkuasa relevan supaya melaksanakan apa yang perlu untuk melindungi perpaduan sosial negara kita.
"Individu yang menghasut kebencian, mencetuskan perpecahan dan membuat kenyataan tidak sensitif dan berbahaya mesti dipertanggungjawabkan. Ini sejajar dengan nilai-nilai yang dijunjung rakyat Singapura - nilai tanggungjawab, saling hormat-menghormati dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada keamanan," tambah PERGAS.
RESPONS CALVIN CHENG
Dalam catatan balas daripada Calvin Cheng pada pagi Isnin (7 April), beliau menolak kenyataan PERGAS bahawa beliau hanya menujukan catatannya sebelum ini kepada masyarakat Muslim sahaja.
Beliau mendakwa, mantan Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP) Mahmood Jufrie, pemimpin Parti Reform Kenneth Jeyaretnam dan individu-individu lain "mengada-adakan pembohongan dan memutarbelitkan" kenyataannya.
Encik Cheng sudah mengambil tindakan guaman berkait individu-individu tersebut.
"Saya faham sentimen PERGAS; Saya berharap mereka akan membaca semula catatan saya dalam konteks ini," kata Encik Cheng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.