Isu buli di sekolah, risiko berkaitan AI akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Selasa
Para anggota parlimen akan membincangkan langkah-langkah lebih tegas terhadap pembulian dan risiko baharu dari kecerdasan buatan (AI) dalam sidang parlimen seterusnya pada Selasa (5 Mei).
Sebanyak 23 soalan dikemukakan oleh para AP mengenai garis panduan disiplin yang lebih tegas bagi para pelajar yang terlibat dalam pembulian, termasuk bagaimana sekolah-sekolah akan menentukan tindakan disiplin yang diambil dan langkah keselamatan bagi pelaksanaan hukuman sebat.
Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan pada 14 April lalu bahawa mereka yang membuli boleh digantung sekolah, disebat dan diberikan gred kelakuan lebih rendah, di bawah rangka kerja lebih tegas bagi salah laku pelajar.
MOE juga menyatakan ia akan menyediakan lebih banyak dana untuk sekolah-sekolah menggajikan tenaga kerja tambahan dan menjadikan wadah laporan lebih mudah diakses untuk menangani isu tersebut.
AP Alex Yeo (PAP-Potong Pasir) membangkitkan soalan tentang mengapa hukuman sebat kekal sebagai hukuman yang sesuai dan berkesan bagi pelajar lelaki di sekolah rendah atasan dan bagaimana MOE akan memastikan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan.
AP Abdul Muhaimin Abdul Malik (WP-Sengkang) bertanya sama ada MOE sudah menilai keberkesanan hukuman sebat dalam mengurangkan perbuatan buli secara berulang kali, dan apakah yang mewajarkan penggunaannya secara berterusan, di tengah-tengah kajian antarabangsa yang mengaitkan hukuman fizikal dengan peningkatan dalam kecenderungan bertindak lebih ganas dan kesan akibat jangka panjang yang buruk.
AP He Ting Ru (WP-Sengkang) pula ingin mengetahui bagaimana sekolah-sekolah akan memutuskan tindakan disiplin dan langkah-langkah diambil bagi memastikan respons tersebut adalah berkadar, tertumpu kepada pelajar dan konsisten.
AP Yeo Wan Ling (PAP-Pasir Ris-Punggol) bertanya jika sumber sedia ada untuk kaunseling di sekolah adalah mencukupi bagi menangani perbuatan buli, dan sama ada para kaunselor mempunyai kebolehan menangani isu pembulian online.
PERALIHAN AI DENGAN USUL 'TIADA PERTUMBUHAN PENGANGGURAN'
AP Ng Chee Meng (PAP-Jalan Kayu) dijadual mengemukakan usul yang menggesa pemerintah supaya mengesahkan bahawa Singapura tidak harus mempunyai "pertumbuhanpengangguran", walaupun sedang ekonomi dibentuk semula oleh AI.
Usul itu yang bertajuk "Peralihan Kecerdasan Buatan (AI) tanpa PertumbuhanPengangguran", menyeru pemerintah supaya "mengiktiraf kuasa transformatif teknologi baharu, terutamanya AI, dalam memacu fasa pembangunan ekonomi Singapura yang seterusnya".
Ia juga meminta parlimen supaya mengesahkan bahawa kemajuan ekonomi Singapura harus kekal inklusif, dan melengkapkan dan menyokong para pekerja dan perusahaan supaya "merebut peluang baharu dan maju bersama".
Usul itu juga menyeru pemerintah supaya menekankan bahawa pendekatan Singapura kepada pertumbuhan didayakan AI "harus berpaksi dalam keadilan, daya ketahanan dan peluang bagi semua".
Semasa Amanat Hari Buruh, Perdana Menteri Lawrence Wong akur mengenai kesan AI "yang besar" tetapi berikrar bahawa setiap pekerja akan dilindungi di tengah-tengah perubahan itu.
"Saya tidak dapat menjanjikan tiada perubahan. Pekerjaan akan berubah. Ada yang akan hilang. Dan kadar perubahan lebih pantas berbanding apa yang pernah kita lihat sebelum ini," katanya.
"Tetapi saya boleh beri anda jaminan: sedang ekonomi itu melalui transformasi, kita akan mewujudkan pekerjaan baharu dan lebih baik. Kita mungkin tidak dapat melindungi setiap pekerjaan. Tetapi kita akan melindungi setiap pekerja. Kerana di Singapura, setiap pekerja adalah penting."
AP Saktiandi Supaat (PAP-Bishan-Toa Payoh) yang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kewangan dan AP Yeo Wan Ling yang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Perdagangan dan Perusahaan dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Mark Lee yang merupakan seorang pemimpin perniagaan, menyokong usul setiausaha agung buruh itu.
Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada bulan lalu menggesa syarikat-syarikat di Singapura supaya mengukuhkan langkah keselamatan siber, sambil menukil risiko dari model sempadan AI seperti Anthropic Mythos.
AP Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah) akan bertanya tentang model-model sempadan sedemikian dan sama ada pemerintah menyemak rangka kerja keselamatan siber Singapura sedia ada dan langkah keselamatan bagi menangani risiko-risiko baharu.
AP Saktiandi juga akan bertanya tentang penilaian risiko pemerintah terhadap model AI yang didakwa cukup canggih untuk mencuri data atau mengganggu infrastruktur penting, jika risiko sedemikian boleh menjadi risiko kewangan sistem dan jika sebarang petanda amaran awal dapat dibangunkan.
Selain isu-isu keselamatan siber, AP Charlene Chen (PAP-Tampines) akan bertanya jika langkah-langkah keselamatan sudah diperkenalkan seperti kajian membujur (longitudinal studies) bagi memantau kesan penggunaan awal AI terhadap pembangunan kemahiran asas pelajar dan pemikiran tahap tinggi dan mengelakkan kebergantungan pada alat AI.
AP Sylvia Lim (WP-Aljunied Lim) juga ingin mengetahui jika terdapat masalah meningkat di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan melibatkan pelajar yang menghasilkan dan mengedarkan gambar lucah palsu teman-teman mereka yang dihasilkan menggunakan AI, dan sama ada terdapat garis panduan berhubung bagaimana kes-kes berkenaan dikendalikan.
Lagi enam Rang Undang-Undang dijadualkan bagi sebutan kali kedua, antaranya Rang Undang-Undang Kereta Api Rentas Sempadan (Lokasi Bersama Kawalan Sempadan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.