Skip to main content

Singapura

Isu budaya kerja, kadar peletakan jawatan peguam perlu ditangani: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Isu budaya kerja, kadar peletakan jawatan peguam perlu ditangani: Shanmugam

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berucap pada sebuah majlis bagi para pelajar baharu Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 26 Julai 2025. (Gambar: NUS Law)

Diterbitkan : 26 Jul 2026 07:52PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 07:57PM
SINGAPURA: Isu budaya kerja dan kadar peletakan jawatan dalam kalangan peguam perlu diberi perhatian serius, namun lebih banyak data terperinci dan objektif diperlukan bagi menilai sejauh mana masalah itu berlaku.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata demikian ketika berucap pada majlis orientasi pelajar baharu Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Ahad (26 Jul).

Beliau merujuk kepada satu kajian terbaru Persatuan Undang-Undang Singapura yang mengenal pasti beberapa isu, termasuk waktu kerja yang panjang, budaya kerja toksik, tekanan, layanan tidak adil di mahkamah, kebimbangan terhadap prospek kerjaya serta kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap kerjaya guaman.

Encik Shanmugam berkata angka rasmi menunjukkan kadar peletakan jawatan dalam kalangan peguam kekal secara keseluruhannya stabil sejak sedekad lalu.

Beliau berkata sekitar 60 peratus peguam masih kekal dalam kerjaya itu selepas lima tahun antara 2015 hingga 2024, manakala kira-kira 40 peratus masih berkhidmat selepas 10 tahun.

Dalam tempoh yang sama, bilangan peguam yang mengamalkan kerjaya itu meningkat sebanyak 26 peratus, manakala jumlah peguam dalaman meningkat sekitar satu pertiga kepada kira-kira 4,800 orang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak bermakna tiada masalah dalam kerjaya tersebut.

Encik Shanmugam berkata lebih banyak data diperlukan, termasuk maklum balas daripada firma guaman dan mahkamah, bagi mengenal pasti skala sebenar isu berkenaan sebelum langkah penyelesaian dapat dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan bakal peguam bahawa kerjaya dalam firma guaman terkemuka sememangnya menuntut komitmen tinggi, seiring dengan ganjaran lumayan yang ditawarkan.

Namun, beliau menegaskan tekanan kerja tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan penyeliaan yang lemah, kekurangan latihan, gangguan, buli atau layanan yang tidak munasabah terhadap peguam.

Encik Shanmugam turut berkata kejayaan sektor guaman Singapura bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara serta komitmen berterusan terhadap kedaulatan undang-undang, yang menjadi asas keyakinan pelabur dan perniagaan antarabangsa.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita