Skip to main content

Singapura

Isu badan pensijilan halal asing: Siasatan MUIS telus dan menyeluruh kata Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata bahawa beliau "yakin" seluruh proses siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa atau rasuah seorang pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) adalah telus dan menyeluruh.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu badan pensijilan halal asing: Siasatan MUIS telus dan menyeluruh kata Masagos

Gambar fail bangunan MUIS. (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)

Diterbitkan : 15 Dec 2020 11:51PM Dikemas Kini : 15 Dec 2020 11:58PM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata bahawa beliau "yakin" seluruh proses siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa atau rasuah seorang pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) adalah telus dan menyeluruh.

Menulis di Facebook pada Selasa (15 Dis), beliau mengulas kenyataan MUIS yang mendedahkan hasil siasatannya ke atas tuduhan berhubung pengiktirafan badan-badan pensijilan halal negara asing (FHCB).

Pada April tahun ini, laman Asia Sentinel menerbitkan laporan yang menuduh bahawa seorang pegawai tinggi di jabatan halal MUIS menyalah guna kuasanya dan mengamalkan rasuah untuk memilih atau menyingkirkan FHCB.

"Siasatan menunjukkan bahawa proses pengiktirafan FHCB dilakukan dengan betul tanpa salah laku. Proses membatalkan pengiktirafan FHCB juga dilakukan oleh pegawai MUIS secara adil dan saksama. Misalnya, antara sebab-sebab pembatalan pengiktirafan FCHB ialah kerana mereka didapati mengeluarkan produk babi," menurut Encik Masagos.

Dalam kenyataannya awal dari itu, MUIS menyebut bahawa siasatannya mendapati proses-proses yang diamalkan jabatan halalnya adalah wajar.

"IVT menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua penyerahan daripada orang awam, meliputi dokumen-dokumen dalam pelbagai bentuk (artikel, catatan media sosial, emel, surat), dan juga dokumen-dokumen dalaman dari Unit Strategik Pensijilan Halal MUIS," menurut kenyataan MUIS itu.

Dalam komen beliau di Facebook itu, Encik Masagos turut menarik perhatian bahawa dapatan siasatan dalaman MUIS dan yang dijalankan Panel Semakan Bebas juga disemak oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

"Saya yakin bahawa keseluruhan proses (siasatan) ini dijalankan secara telus dan menyeluruh," ujar Encik Masagos.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa langkah-langkah perlu diambil agar proses MUIS dalam pengiktirafan FHCB "kekal kukuh, relevan dan berkesan".

"Saya mengalu-alukan langkah MUIS untuk menjalankan semakan untuk mempertingkatkan proses pengiktirafan FHCB," kata Encik Masagos.

"Ini jelas mencerminkan komitmen MUIS dalam memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat Islam Singapura."

Namun demikian demi bersikap telus dan kebertanggungjawaban, MUIS sudahpun merujukkan perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut.

MUIS juga sudah membuat satu laporan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi untuk menyiasat kemungkinan maklumat rahsia dibocorkan kepada pihak ketiga oleh pegawainya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita