Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu ajaran songsang: Masagos seru masyarakat perkukuh benteng terhadap anasir tidak sihat

Masagos Zulkifli mengajak masyarakat supaya bekerjasama untuk memperkukuh benteng terhadap anasir yang tidak sihat. Beliau menyeru demikian sebagai mengulas laporan Straits Times mengenai lelaki yang dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan nikah batin.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengajak masyarakat supaya bekerjasama untuk memperkukuh benteng terhadap anasir yang tidak sihat. Beliau menyeru demikian sebagai mengulas laporan Straits Times mengenai lelaki yang dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan nikah batin.

Menerusi catatan Facebook beliau (10 Nov), Encik Masagos akur laporan tersebut sememangnya membuat ramai berasa bimbang.

Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an tahun dalam tajuk berita akhbar berkenaan dikatakan menyampaikan ilmu agama kepada para pengikutnya di rumah-rumah, pejabat di Jalan Sultan dan kini di tingkat dua sebuah restoran miliknya berdekatan kawasan bandar.

Lima wanita yang dipercayai "isteri menerusi nikah batin" dilaporkan antara pengikutnya sekarang. Seorang bekas pengikutnya memberitahu akhbar itu, antara ajaran lelaki itu termasuk membeli 4D dan Toto supaya wang judi dapat membantu masyarakat Islam.

Lantaran itulah, Encik Masagos menegaskan, masyarakat harus berhati-hati apabila memilih sumber ilmu agama mereka.

"Masyarakat Islam Singapura (harus) sentiasa berwaspada apabila mendapatkan bimbingan agama dan memastikan agar asatizah yang dipilih berwibawa dan tersenarai dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS)," tegas Encik Masagos.

Beliau menambah, apabila tidak pasti atau berdepan dengan ajaran mengelirukan, seseorang itu sebaiknya-baiknya segera menghubungi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk mendapatkan nasihat.

MUIS dalam kenyataannya pada Selasa (10 Nov) mengesahkan, lelaki terbabit tidak bertauliah dan tidak berdaftar di bawah ARS. Dia juga pernah mengaku kepada Jawatankuasa Fatwa bahawa dia menawarkan "perubatan batin".

MEREKA YANG MEMPUNYAI MAKLUMAT DIRAYU TAMPIL

Sementara itu, Encik Masagos berkongsi bahawa MUIS "menerima aduan dan menyiasat individu tersebut pada 2018". Dia juga sudah "diberi arahan tegas untuk menghentikan segala jenis khidmat yang beliau tawarkan demi mengelak daripada menimbulkan kekeliruan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga keluarga dan pengikutnya", menurut Encik Masagos.

"Individu itu juga dinasihatkan untuk terus mendalami ilmu agama daripada asatizah yang bertauliah."

Encik Masagos merayu kepada orang ramai supaya "segera menghubungi MUIS bagi membantu siasatannya".

"Kita harus bertindak selaras dengan undang-undang. Saksi yang sedia memberi bukti di mahkamah sangat diperlukan," tekan beliau lagi.

KENYATAAN MUIS AWAL DARI ITU

Awal dari itu, MUIS dalam kenyataannya sudahpun mendedahkan bahawa ia kini bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lanjut tentang perkara itu.

Badan penguasa Islam itu menjelaskan, pihaknya sudah bertemu dengan lelaki terbabit pada 2018 selepas menerima aduan mengenai kegiatan-kegiatan yang dijalankan.

Menurut MUIS, lelaki tersebut menafikan melakukan sebarang kesalahan dan hanya mengaku menawarkan perubatan spiritual. Arahan tegas sudahpun dikeluarkan.

Namun, MUIS menyatakan, terdapat dakwaan-dakwaan baru yang dikemukakan dalam laporan terkini mengenainya. Maka itu, siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil kerana mengadakan kelas agama tanpa berdaftar dengan MUIS, memang merupakan satu kesalahan.

MUIS dalam kenyataannya itu turut menekankan bahawa amalan-amalan seperti melakukan 'nikah batin', berjudi untuk membantu orang lain, dan mengaku dirinya sebagai seorang Nabi, jelas menyimpang daripada ajaran Islam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan