Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu ajaran sesat: Siasatan perlu dilakukan dengan teliti dan bukti dikumpulkan dengan adil dan telus, kata Mufti

Demikian ditegaskan Mufti Dr Nazirudin Nasir, mengulas mengenai aduan tentang ajaran sesat, baru-baru ini yang merujuk kepada kegiatan melibatkan lelaki yang dikatakan memimpin kumpulan ajaran sesat.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu ajaran sesat: Siasatan perlu dilakukan dengan teliti dan bukti dikumpulkan dengan adil dan telus, kata Mufti
Diterbitkan : 02 Dec 2020 11:45PM Dikemas Kini : 02 Dec 2020 11:48PM

SINGAPURA: "Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang mudah melontarkan tuduhan mahupun menghukum tanpa sebab yang kukuh.

"Kita juga tidak mahu Mufti, atau Jawatankuasa Fatwa, atau badan rasmi seperti Muis yang mudah sahaja melabelkan seseorang atau kumpulan sebagai "sesat" tanpa bukti atau hujjah yang kukuh. Ia adalah satu langkah merbahaya."

Demikian ditegaskan Mufti Dr Nazirudin Nasir, mengulas mengenai aduan tentang ajaran sesat, baru-baru ini yang merujuk kepada kegiatan melibatkan lelaki yang dikatakan memimpin kumpulan ajaran sesat dan mengakui dirinya sebagai 'Nabi'.

Dalam satu catatan di akaun Instagram beliau, pada Rabu (2 Dis) Mufti berkata proses siasatan bagi aduan-aduan sedemikan perlu dilakukan dengan teliti dan bukti dikumpulkan dengan adil dan telus kerana implikasi keputusan yang diambil menjejas reputasi, kehormatan serta keselamatan orang.

"Kadangkala, terdapat konflik atau masalah pribadi antara dua pihak, dan implikasi keputusan yang kita ambil akan menjejas reputasi, kehormatan serta keselamatan orang.

"Namun, dengan bukti yang kukuh, kita tidak akan ragu-ragu untuk mengambil langkah sewajarnya, iaitu menfatwakan sesuatu ajaran sebagai sesat serta memaklumkan masyarakat untuk berwaspada", ujarnya.

Mufti menjelaskan lagi Muis telah membuat keputusan sedemikian pada masa lalu dengan turut mengambil pendekatan berdasarkan nilai-nilai agama seperti kemaafan, keihsanan dan nasihat yang berterusan bagi mereka yang terbabit, bukan menghukum dengan undang-undang kecuali jika benar-benar perlu.

"Begitu cara Baginda Nabi s.a.w. yang berjaya merubah musuh yang ketat menjadi penyokong dakwah Baginda s.a.w. dan mereka yang tersesat mendapat hidayah dan menjadi pengikutnya," tambahnya.

Dalam pada itu Dr Nazirudin juga akur tidak semua orang dapat dilindungi daripada segala unsur kesesatan.

Maka itu beliau menggesa masyarakat Islam di sini supaya terus mengambil langkah untuk melindungi keluarga mereka serta menyokong institusi agama.

Menurut Dr Nazirudin, masih ada sejumlah kecil yang memilih untuk belajar ilmu agama dari sumber yang meragukan ataupun salah meski pelbagai usaha dijalankan seperti memastikan hanya golongan asatizah berkelayakan berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

"Saya bersyukur kerana sekarang ini kita mempunyai sekitar 5,000 guru agama yang terdaftar. Kami akan terus mendorong dan mengingatkan masyarakat untuk menuntut ilmu daripada sumber yang betul kerana adalah amat membimbangkan apabila baru-baru ini, terdapat laporan mengenai ajaran yang salah atau sesat," ujar beliau.

"Marilah kita terus melindungi keluarga kita dan memperkuat serta menyokong institusi agama kita agar kita dapat bersama-sama membangunkan masyarakat yang kita cintai."  

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan