Isu ajaran sesat: MUIS jawab tuduhan online bahawa ia gagal bertindak sejak 4 tahun lalu
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (1 Dis) memberi amaran bahawa ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap para individu yang menyebarkan kepalsuan dan tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadapnya.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (1 Dis) memberi amaran bahawa ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap para individu yang menyebarkan kepalsuan dan tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadapnya.
Badan penguasa Islam itu menyatakan demikian sebagai menjawab catatan-catatan media sosial yang menuduh MUIS sebagai gagal mengambil tindakan selama empat tahun berhubung satu kes ajaran sesat. Kes ajaran sesat itu hanya muncul kepada pengetahuan umum pada tahun ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini MUIS menyifatkan tuduhan-tuduhan sebegitu sebagai "tidak berasaskan fakta yang tepat".
Menurut badan penguasa itu: "MUIS sudah (a) menyiasat perkara itu pada 2018, dan (b) mengambil tindakan yang perlu termasuk menemu bual individu berkenaan, serta mengeluarkan makluman rasmi kepada lelaki berkenaan supaya menghentikan kegiatan-kegiatannya."
Kenyataan MUIS itu merujuk kepada kes seorang lelaki berusia 50-an tahun yang dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin' dengan lima orang wanita. Bekas suami wanita-wanita yang dikatakan "dirampas" lelaki tersebut, mendakwa bahawa ajaran-ajaran lelaki tersebut mencurigakan. Lelaki itu juga dikatakan menghalalkan wang perjudian untuk membantu orang lain.
Dalam kenyataannya hari ini MUIS akur bahawa masyarakat sangat bimbang dengan isu ajaran sesat.
"Bagaimanapun MUIS mahu mengingatkan orang ramai supaya bertindak dengan bertanggungjawab terutama sekali apabila membuat komen di wadah-wadah media sosial di mana kenyataan-kenyataan palsu boleh cepat diedarkan tetapi sukar untuk dipastikan.
"Kita juga tidak harus mengulas apabila sesuatu perkara itu masih dalam siasatan, atau ia boleh menimbulkan fitnah dan kepalsuan terhadap pihak-pihak yang mungkin tidak bersalah. Ini bertentangan dengan semangat undang-undang dan prinsip keadilan semula jadi," menurut MUIS lagi.
"Juga ada komen-komen bahawa MUIS tidak serius dalam memerangi ajaran-ajaran sesat. Ini malah menimbulkan pandangan-pandangan yang mempersoalkan respons keseluruhan MUIS dalam mengendalikan kehidupan sosio-agama masyarakat Muslim Singapura."
MUIS SEDANG KERJASAMA DENGAN AGENSI-AGENSI RELEVAN UNTUK SIASAT
Dalam kenyataannya itu, MUIS tidak pula menyebut secara khusus individu atau pihak mana yang membuat tuduhan bahawa ia tidak berbuat apa-apa tentang kes berkenaan sejak empat tahun lalu.
Sebelum ini dalam satu kenyataan MUIS pada 10 November ia mengesahkan, Jawatankuasa Fatwa sudah bertemu dengan individu terbabit pada 2018 sebaik sahaja pihaknya dimaklumkan tentang kes itu, memandangkan "kegiatannya dalam aduan berunsur keagamaan".
"Dia menafikan melakukan sebarang kesalahan ketika itu dan hanya mengaku menawarkan perubatan batin. Jawatankuasa Fatwa selanjutnya mengeluarkan makluman rasmi kepadanya agar segera menghentikan kegiatan seperti itu kerana dia tidak ditauliahkan untuk melakukannya," menurut MUIS yang menambah bahawa lelaki itu tiada kelayakan mahupun berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Dalam kenyataan hari ini pula, MUIS mengulangi bahawa ia sedang bekerjasama dengan agensi-agensi yang relevan untuk menyiasat kes itu dengan lebih lanjut.
TUDUHAN, FITNAH HAKIS HUBUNGAN RAPAT MUIS-MASYARAKAT
Ia juga meminta orang ramai, terutama sekali mereka yang menerima ajaran songsang itu supaya tampil ke depan sebelum 11 Disember ini, sekiranya mereka mempunyai bukti-bukti yang kukuh seperti emel, dokumen, nota-nota kuliah serta rakaman video dan audio.
Menurut MUIS lagi, sebagai sebuah badan yang berkhidmat kepada masyarakat dan bekerja rapat dengan masyarakat Muslim, "kami yakin kepada amalan konsultasi dan terbka kepada maklum balas".
"Bagaimanapun kami tidak menghargai tuduhan-tuduhan tidak berasas dan fitnah-fitnah yang bertujuan menghakis kepercayaan dan hubungan rapat antara MUIS dengan masyarakat," menurutnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.