Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu 2 hala tidak harus dibiar tanpa huraian, kata Anwar Ibrahim di SG

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi yang pertama ke Singapura pada Isnin (30 Jan), menandakan detik ini dengan pemeteraian beberapa perjanjian kerjasama dua hala dan memberi isyarat hasratnya untuk menghuraikan "isu-isu pertikaian yang tertunggak" antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu 2 hala tidak harus dibiar tanpa huraian, kata Anwar Ibrahim di SG

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi yang pertama ke Singapura pada Isnin (30 Jan), menandakan detik ini dengan pemeteraian beberapa perjanjian kerjasama dua hala dan memberi isyarat hasratnya untuk menghuraikan "isu-isu pertikaian yang tertunggak" antara kedua-dua negara.

Semasa jamuan tengah hari selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian dua hala mengenai ekonomi digital dan hijau serta keselamatan siber, Encik Anwar berkata beliau mengadakan perbincangan bermakna dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Perbincangannya bermakna, bukan seperti klise diplomatik yang biasa. Tentu sekali terdapat lebih banyak isu-isu pertikaian yang tertunggak. Dan saya berbesar hati untuk katakan bahawa kami berdua merasakan bahawa hubungan dua hala perlu dipertingkatkan," kata Encik Anwar.

Beliau menambah: "Tiada isu harus dibiarkan tanpa dihuraikan, kita perlu cuba dan lakukan sedaya upaya untuk mempertingkatkan hubungan ini dan bekerjasama demi kebaikan kedua-dua negara."

Encik Anwar berkata meskipun pentadbirannya masih baru, Kabinet Malaysia bukan sahaja mahu "meneruskan hubungan" bersama Singapura tetapi "melakukan lebih banyak demi kebaikan rakyat kita".

"Kami mahu kedua-dua rakyat Singapura dan Malaysia memahami dan menghargai hakikat bahawa ini merupakan dua negara hebat dan dua negara jiran yang boleh melakukan lebih banyak demi kebaikan rakyat masing-masing.

"Justeru ia terserah kepada rakan sejawatan kita untuk maju ke hadapan, bukan sahaja dari segi perdagangan, pelaburan dan keselamatan dan juga menyelesaikan kesemua isu-isu ini...(seperti) FIR (Perjanjian Rantau Maklumat Penerbangan), RTS  (Laluan Sistem Transit Laju), Koswe...yang perlu dilakukan demi kebaikan penduduk kita," kata pemimpin Malaysia itu tanpa mengulas lanjut.

Dalam ucapannya di jamuan tengah hari itu, Encik Anwar berkata beliau terharu apabila PM Lee merujuk kepada para pekerja Malaysia yang datang ke Singapura untuk bekerja.

"Saya sangat terharu apabila beliau membuat rujukan kepada hakikat bahawa orang ramai perlu beratur berjam-jam untuk pergi bekerja (di Singapura), bangun seawal pukul 4.00 pagi. Tentu sekali, ia merupakan keinginan bersama untuk memastikan bahawa kemudahan disediakan di kedua-dua bahagian sempadan untuk memudahkan kemasukan," kata Encik Anwar.

Beliau juga menekankan bahawa lawatan rasmi Presiden Halimah Yacob ke Malaysia di masa hadapan adalah "isyarat jelas bahawa hubungan dua hala ini masih utuh".

Di pihaknya, PM Lee berkata kerjasama Singapura-Malaysia bertahan meskipun semasa pandemik COVID-19.

Pada ketika itu, menteri dan pegawai dari kedua-dua negara sering berhubungan menerusi pertukaran nota, memberi sokongan kepada satu sama lain dan menyelaraskan perancangan, katanya.

"Meskipun rantaian bekalan di seluruh dunia terganggu, pergerakan individu dan barangan tetap berjalan lancar dan selamat antara Malaysia dengan Singapura," kata PM Lee.

Beliau menambah bahawa memandangkan sekarang sempadan kedua-dua negara sudah dibuka semula sepenuhnya, orang ramai boleh melakukan lawatan dengan mudah dan perniagaan boleh meramalkan operasi dengan lebih jelas.

PM Lee menarik perhatian bahawa perjalanan antara Singapura dengan Malaysia "akan menjadi lebih mudah" sebaik sahaja Rangkaian RTS siap dibina pada 2026.

PEMIMPIN SAHKAN SEMULA "PERSAHABATAN KEKAL TIDAK BERUBAH" ANTARA SG-M'SIA

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menyatakan pertemuan antara PM Lee dengan Encik Anwar "mengesahkan semula persahabatan yang terjalin lama dan kekal tidak berubah" antara kedua-dua negara.

"Mereka mengalu-alukan pembukaan semula sempadan dan ketersambungan yang meningkat antara kedua-dua negara. Mereka bersetuju bahawa penting untuk bekerjasama demi mengukuhkan hubungan dalam bidang-bidang yang membawa manfaat bersama serta mencari huraian membina bagi isu-isu dua hala.

"Perdana Menteri Lee menjemput Perdana Menteri Anwar untuk mengadakan lawatan ke Singapura sekali lagi bagi Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia pada separuh kedua tahun ini," menurut MFA.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan