Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu 2 hala "tidak boleh dielak"; penting lindungi hubungan ekonomi, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Isu 2 hala "tidak boleh dielak"; penting lindungi hubungan ekonomi, kata PM Lee

(Gambar: Today)

Diterbitkan : 30 Mar 2023 03:23PM Dikemas Kini : 30 Mar 2023 03:24PM

BOAO: Isu-isu dua hala antara China dan negara jirannya di Asia akan berlaku dari masa ke semasa. Namun jika ia berlaku, penting untuk "melindungi hubungan ekonomi berbanding isu-isu tersebut" dan meneruskan hubungan antara satu sama lain.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau berucap di Pembukaan Mesyuarat Forum Boao Bagi Asia 2023 di wilayah kepulauan China, Hainan, pada Khamis (30 Mac), selepas ucapan dari Perdana Menteri China, Li Qiang.

PM Lee menambah bahawa negara-negara Asia, termasuk China, perlu "berusaha untuk bekerjasama secara pragmatik" bagi manfaat rakyat masing-masing walaupun mereka tidak bersetuju dalam beberapa isu.

Ucapan PM Lee yang bertajuk: "Ke arah Asia yang lebih stabil dan maju: Mendalami kerjasama dalam dunia yang tidak menentu".

PM Lee, yang diiringi isterinya Cik Ho Ching dan beberapa menteri Kabinet, dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping, Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan Zhao Leji dan Perdana Menteri Li Qiang pada Jumaat (31 Mac) dan Sabtu (1 Apr).

Dalam ucapannya sekitar 10 minit, PM Lee menarik perhatian bahawa China sudah menjadi rakan perdangangan terbesar bagi hampir semua negara Asia. Ia melancarkan projek serantau dan global seperti Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera serta Inisiatif Pembangunan Global.

Sebagai pertukaran, negara-negara Asia membalas keinginan China untuk memperdalam penyepaduan ekonomi, kata PM Lee. Singapura, sebagai contoh, sudah bekerjasama dengan China dalam projek antara pemerintah seperti Inisiatif Ketersambungan Chiongqing, yang mempertingkat ketersambungan antara China Barat dengan Asia Tenggara.

Merujuk kepada ucapannya pada Khamis, PM Lee berkata Republik itu sedang "mengemas kini dan memperbaiki" perjanjian dagangan bebas (FTA) antara China dengan Singapura untuk meningkatkan hubungan keseluruhan ke paras lebih tinggi.

Sunguhpun demikian, PM Lee mengakui bahawa terdapat banyak isu dua hala dan serantau yang perlu diselesaikan. Beliau bagaimanapun tidak menyebut sebarang isu secara khusus dalam ucapannya.

Namun, beliau menambah bahawa perbezaan tersebut harus "ditangani dengan hormat dan kerjasama".

Ia harus dilakukan dengan aman dan berdasarkan undang-undang antarabangsa, "menitikberatkan perspektif dan kepentingan negara yang kecil dan besar," kata PM Lee.

"LEBIH BERKUASA, LEBIH BANYAK TANGGUNJAWAB"

Selain hubungan antara China dengan negara-negara Asia, PM Lee menyebut tentang "keadaan hubungan yang membimbangkan" antara Amerika Syarikat dengan China dalam ucapannya.

"Negara yang lebih berkuasa mempunyai tanggungjawab yang banyak untuk mengekalkan hubungan yang stabil dan berkesan antara satu sama lain, kerana sebarang pertikaian di antara mereka akan menyebabkan akibat yang dasyat, bagi mereka dan seluruh dunia," kata PM Lee.

Dunia, menurut PM Lee, sangat merasakan kesan daripada ketegangan tersebut. Beliau juga menzahirkan harapan agar kedua-dua kuasa dunia itu berjaya dalam usaha menstabilkan hubungan mereka dan membina "kepercayaan dan hormat antara satu sama lain" untuk bekerjasama dalam bidang yang mana kepentingan kedua-dua negara sejajar.

ASIA HARUS KEKAL RANTAU TERBUKA

Disebabkan isu-isu global tersebut, PM Lee berkata negara-negara Asia perlu terus 'menggalak kerjasama ekonomi dan hubungan yang baik" dengan China.

Beliau kemudian berkata bahawa sementera negara-negara Asia, termasuk China, membina kerjasama sedemikian antara satu sama lain, mereka juga harus "membina hubungan dengan AS, Eropah, dan negara-negara lain".

"Hubungan ekonomi yang kuat merentasi seluruh dunia akan memupuk minat lebih besar antara pihak berkepentingan untuk melibatkan diri dengan lebih aktif di Asia," kata PM Lee.

Perkara itu, katanya, bukan sahaja akan menggalakkan persaingan hebat, tetapi mendorong kepada inovasi dan kerjasama.

Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan