Isteri pesakit COVID-19 beri maklumat bercanggah dengan rekod Grab, kata pengesan kontak
Apabila disoal siasat oleh pegawai kesihatan yang melakukan pengesanan kontak mengenai keberadaannya dan suaminya yang diuji positif COVID-19, seorang wanita dari China dipercayai berkata bahawa mereka menaiki sebuah teksi berwarna biru dari rumah mereka ke hospital.

Warga China Shi Sha (kiri) dan suaminya Hu Jun dibicara atas dakwaan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Apabila disoal siasat oleh pegawai kesihatan yang melakukan pengesanan kontak mengenai keberadaannya dan suaminya yang diuji positif COVID-19, seorang wanita dari China dipercayai berkata bahawa mereka menaiki sebuah teksi berwarna biru dari rumah mereka ke hospital.
Namun, rekod daripada platform kenderaan sewa Grab menunjukkan bahawa pasangan itu sebenarnya menaiki kereta Grab dari sebuah hotel.
Hal ini terbongkar pada petang Isnin (17 Ogos) apabila pegawai pengesan kontak, Georgina Lim dari Kementerian Kesihatan (MOH) memberi keterangan di mahkamah berhubung kes warga China Hu Jun dan Shi Sha.
Rekod lanjut Grab menggambarkan keberadaan pasangan itu bercanggah dengan apa yang didakwa mereka berdua, menurut keterangan Cik Lim.
Penduduk asal Wuhan, Hu, 38 tahun, diuji positif COVID-19 pada 31 Jan dan pengesanan kontak dijalankan untuk menentukan tempat yang dikunjunginya dan siapakah kontak rapatnya.
Hu sedang mencabar satu tuduhan yang mendakwa bahawa dia menghalang pegawai kesihatan dengan sengaja untuk menyembunyikan maklumat mengenai lokasi dan kegiatannya.
Isterinya Shi, 36 tahun, berdepan dengan empat tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana menyembunyikan maklumat, memberikan keterangan palsu dan gagal memberikan respons yang lengkap dan jujur kepada seorang pegawai kesihatan.
PEGAWAI KESIHATAN TIDAK DIBERI MAKLUMAT LENGKAP
Cik Lim, saksi kedua bagi pihak pendakwaan, berkata beliau ditugaskan untuk melengkapkan maklumat mengenai kegiatan pasangan itu sebelum Hu pergi ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan disahkan dijangkiti virus korona.
Antara maklumat yang tidak dapat disahkan termasuk identiti pemandu teksi yang membawa pasangan itu dari Lapangan Terbang Changi ke rumah mereka di The Loft @ Nathan Road, berdasarkan keterangan Hu.
Shi pada awalnya keberatan untuk mendedahkan maklumat kepada Cik Lim yang menyoalnya beberapa kali bagi tujuan pengesanan kontak.
Hu tiba di Singapura pada 22 Januari dan dipercayai memberitahu para pegawai kesihatan bahawa isterinya yang memandu untuk menjemputnya dari Lapangan Terbang Changi ke rumah mereka.
Menurut Cik Lim, Shi memberitahunya bahawa mereka tidak memiliki sebuah kereta. Untuk mengesahkan maklumat tersebut, beliau bertanya kepada Shi bagaimana mereka pulang dari lapangan terbang dan Shi menjawab mereka beratur untuk menaiki teksi di lapangan terbang.
Memandangkan Cik Lim perlu mengenal pasti pemandu teksi, beliau meminta nama syarikat teksi dan resit tetapi Shi mendakwa dia tidak ingat nama syarikat teksi tersebut mahupun masih menyimpan resitnya. Apabila ditanya mengenai warna teksi berkenaan, dia berkata ia bukan berwarna biru dan tidak ingat sama ada ia berwarna putih atau kelabu.
Ketika ditanya sama ada mereka terus pulang atau ke unit rakan mereka di The Loft @ Nathan, Shi berkata bahawa mereka terus pulang dan tidak keluar rumah.
Shi juga berkata mereka tidak keluar rumah kerana suaminya tidak sihat dan mereka juga tidak melakukan sebarang kunjungan semasa sambutan Tahun Baru Cina.
Shi berkata Hu hanya keluar sekali saja pada 24 Januari untuk bersiar-siar sendirian.
Apabila ditanya bagaimana mereka ke hospital pada 29 Jan, Shi berkata mereka menaiki teksi berwarna biru dari rumah mereka di Nathan Road ke SGH, kata Cik Lim dalam keterangannya.
Para pegawai kesihatan cuba mengenal pasti teksi biru itu menggunakan rakaman CCTV dan dengan bantuan LTA, namun gagal.
REKOD GRAB DEDAH LALUAN BERBEZA
"Kami menyerahkan nombor telefon Shi Sha kepada LTA untuk melakukan pencarian menerusi syarikat kereta sewa privet untuk menentukan jika dia menempah teksi melalui aplikasi mudah alih dan di situlah LTA memperolehi rekod saringan Grab berdasarkan nombor telefon Shi Sha, yang menunjukkan mereka menaiki kereta Grab dari Studio M Hotel, yang bukan dekat dengan Nathan Road, dan turun di SGH," kata Cik Lim.
Catatan Grab selanjutnya menunjukkan bahawa Shi pergi ke Long Beach Seafood di Stevens Road pada hari suaminya mendarat di Singapura, sebelum menaiki kereta Grab lain ke Marina One Residences pada lewat hari yang sama.
Rekod Grab juga menunjukkan bahawa Shi menaiki kenderaan ke Kedutaan China pada 24 Jan sebelum pergi ke Ngee Ann City dan Hotel InterContinental Singapore.
Ini bercanggah dengan keterangan Shi yang mendakwa dia dan suaminya tidak keluar untuk makan malam hari itu kerana suaminya sakit. Dia berkata bahawa mereka berdua sudah mengasingkan diri daripada ibu bapa dan anak-anak mereka.
KEKELIRUAN MUNGKIN AKIBAT SALAH TAFSIR: PEGUAM BELA
Peguam bela Dhanwant Singh sebelum itu menyoal saksi pendakwaan pertama, pakar epidemiologi Yang Yong, yang melakukan pengesanan kontak ke atas Hu.
Encik Singh berkata bahawa Hu berasa "sangat sejuk dan mengantuk" dan sedang demam ketika bercakap dengan Encik Yang.
Beliau juga berkata Hu memberitahu Encik Yang dalam bahasa Mandarin bahawa isterinya mahukan kereta dan bukan memandu kereta untuk menjemputnya dari lapangan terbang ke rumah mereka. Dia sebelum itu mendakwa salah tafsir mungkin berlaku dalam komunikasi mereka.
"Isterinya tidak memiliki sebuah kereta atau lesen memandu. Oleh itu, dia tidak mungkin mengatakan isterinya memandu sebuah kereta," kata peguam itu.
Menurut Encik Yang, beliau tidak ingat akan perkara itu dan keterangan yang dicatatnya dari Hu adalah tepat pada hari itu.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suami dan isteri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya bagi setiap tuduhan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.