Isteri pengerusi CAG diberi amaran, anak lelaki dinasihatkan pada 2018 setelah pembantu rumah buat aduan: MOM
Isteri pengerusi Changi Airport Group (CAG), Liew Mun Leong diberi amaran manakala anaknya dinasihatkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2018 setelah bekas pembantu mereka, Parti Liyani mengadu disuruh bekerja secara tidak disah di rumah dan pejabat anak lelaki Encik Liew.

Parti Liyani bersama perguamnya, Anil Balchandani, dan pekerja latihan amali Encik Anil, Ajay Singh, di luar Mahkamah Tinggi pada 4 Sep 2020. (Gambar: HOME)
SINGAPURA: Isteri pengerusi Changi Airport Group (CAG), Liew Mun Leong diberi amaran manakala anaknya dinasihatkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2018 setelah bekas pembantu mereka, Parti Liyani mengadu disuruh bekerja secara tidak disah di rumah dan pejabat anak lelaki Encik Liew.
Cik Parti dibebaskan pada hari Jumaat (4 Sep) daripada tuduhan mencuri barang bernilai sekitar S$34,000 daripada Encik Liew Mun Leong dan keluarganya, setelah beliau dijatuhkan hukuman penjara pada bulan Mac 2019 atas empat tuduhan mencuri.
Hakim Chan Seng Onn membatalkan sabitan terhadapnya pada Jumaat (4 Sep) dan mengatakan dalam penghakimannya bahawa keluarga Liew telah mengambil "langkah pertama pencegahan" untuk memberhentikan Cik Parti secara tiba-tiba pada 28 Oktober 2016 tanpa memberinya masa yang cukup untuk berkemas. Ini supaya Cik Parti, tidak ada masa untuk membuat aduan kepada MOM.
Mahkamah diberitahu bahawa Cik Parti disuruh untuk bekerja di rumah dan pejabat anak lelaki Encik Liew Mun Leong, Karl sebanyak "beberapa kali". Perbuatan itu melanggar peraturan tertentu MOM.
MOM menyatakan pada Ahad bahawa Cik Parti membuat laporan pada bulan Oktober 2017 mengenai langkah isteri Encik Liew Mun Leong membuatnya melakukan tugas secara tidak sah di rumah Encik Karl Liew antara September 2016 dengan Oktober 2016, dan di pejabatnya sekitar tahun 2012 dan 2013.
"Pihak Kementerian menyiasat aduannya dan mendapati bahawa Cik Liew menghantarnya ke rumah dan pejabat Encik Karl Liew sebanyak beberapa," kata MOM.
Diakhir siasatan itu pada bulan Mei 2018, MOM memberi peringatan kepada Cik Liew dan nasihat kepada Encik Karl Liew.
"Langkah mengeluarkan amaran, atas fakta-fakta ini, sejajar dengan pendekatan yang diambil dalam kes serupa yang lain," kata MOM.
Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Ahad menyatakan penemuan Hakim Chan "menimbulkan persoalan yang memerlukan siasatan lebih lanjut".
"AGC akan mengkaji keputusan untuk menilai tindakan selanjutnya, jika ada, yang harus diambil dalam kes ini, berdasarkan kenyataan (Hakim Chan)," kata AGC.
MOM menyatakan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Hakim Chan, kementerian itu sedang berunding dengan AGC sama ada atau tidak "tindakan selanjutnya, jika ada, harus diambil dalam kes ini".
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura menyatakan mereka maklum akan keputusan Mahkamah Tinggi dan akan meneliti isu-isu berhubung siasatan polis yang ditimbulkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.