Isteri pekerja Bangladesh selamat lahirkan anak sulung; suami bertarung nyawa akibat COVID-19 di S'pura
Isteri pekerja warga Bangladesh yang diuji positif COVID-19 di Singapura sudah selamat bersalin di Bangladesh, menurut pusat pekerja asing Migrant Workers' Centre (MWC) pada Selasa (31 Mac).
Isteri kepada seorang pesakit COVID-19, seorang warga Bangladesh yang sedang tenat di Singapura, selamat melahirkan bayi lelaki. (Gambar: MWC)
SINGAPURA: Isteri pekerja warga Bangladesh yang diuji positif COVID-19 di Singapura sudah selamat bersalin di Bangladesh, menurut pusat pekerja asing Migrant Workers' Centre (MWC) pada Selasa (31 Mac).
Warga Bangladesh itu diuji positif pada 8 Feb setelah dimasukkan ke unit jagaan rapi Hospital Besar Changi (CGH) sehari sebelum disahkan dijangkiti virus tersebut. Beliau kemudian dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Menulis di laman Facebooknya pada Selasa, MWC menyatakan: "Kami menerima berita yang menggembirakan itu daripada isteri kes 42 mengenai kelahiran anak sulung mereka, seorang bayi lelaki, pada petang semalam.
"MWC berbesar hati dapat membantu dengan mengadakan persidangan video antara isterinya dengan pasukan perubatan suaminya di sini, dengan kehadiran suaminya, sehari sebelum beliau bersalin.
"Kami berterima kasih kepada para doktor yang turut membantu untuk memenuhi permintaan saat-saat terakhir ini meskipun suaminya masih dalam keadaan sedasi dan seperti yang diungkapkan oleh isterinya - terima kasih kerana membenarkannya untuk melihat suaminya bagi mendapatkan kekuatan dan semangat sebelum bersalin."
Bulan lalu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menyatakan, rakyatnya yang berusia 39 tahun itu berada dalam keadaan tenat selepas mengalami masalah pernafasan, masalah ginjal dan radang paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.
MWC turut mendedahkan semalam bahawa lelaki berkenaan 'sudah bebas daripada jangkitan COVID-19' dan dipindahkan dari NCID sejak 'beberapa hari yang lalu'.
"Disebabkan oleh komplikasi akibat jangkitan virus tersebut, keadaan beliau masih dipantau dan dirawat di ICU dan perkembangan ini dikongsikan oleh keluarganya," menurut catatan Facebook MWC.
"Keadaannya masih kritikal tetapi kami rasa teruja dengan perkembangan terbaru ini dan meminta orang ramai supaya terus mendoakannya.
"Isterinya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Singapura atas keprihatinan dan sokongan mereka terhadap suaminya dan keluarga mereka. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sekumpulan karyawan perubatan yang terus melakukan yang terbaik untuk merawat suaminya dalam keadaan yang sangat mencabar sekarang di mana semua pekerja jagaan kesihatan bekerja keras dan bertungkus lumus untuk menyelamatkan para pesakit."
Kumpulan keusahawanan sosial ItsRainingRaincoats turut membuat pengumuman yang sama di lamannya pada pagi semalam.
Kumpulan berkenaan melancarkan derma kilat bagi isteri pekerja Bangladesh itu pada awal bulan ini dan sejauh ini berhasil mengumpul 33 karton barangan termasuk lampin dan susu bayi serta mainan untuk anak pasangan tersebut.
Dengan jumlah barangan yang diterima di luar jangkaan, pertubuhan tersebut memutuskan untuk membantu keluarga dua pekerja di Singapura yang terkorban akibat kemalangan di tempat kerja masing-masing.
Menurut pengasas ItsRainingRaincoats Dipa Swaminathan, pertubuhannya berbesar hati dan bersyukur setelah mendapat berita bahawa bayi itu dilahirkan dengan selamat dan ibunya juga dalam keadaan sihat.
Suami wanita berkenaan menunjukkan tanda-tanda jangkitan pada 1 Feb dan mendapatkan rawatan daripada seorang doktor biasa dua hari kemudian sebelum beliau pergi ke CGH pada 5 Feb.
Pada 7 Feb pula, pekerja warga Bangladesh itu pergi ke Poliklinik Bedok bagi janji temu susulan dan dimasukan ke unit jagaan rapi CGH pada hari yang sama. Beliau diuji positif pada 8 Feb dan dipindahkan ke NCID.
Pekerja Bangladesh itu dikaitkan dengan kelompok penularan di tapak binaan Seletar Aerospace Heights.
Sebelum dimasukkan ke hospital, lelaki berkenaan turut mengunjungi Mustafa Centre dan menginap di The Leo Dormitory di Kaki Bukit Road.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.