ISTAF rancang kembangkan sepak takraw ke Bahrain; hampir capai sasaran 70 negara anggota
Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) semakin hampir mencapai sasarannya untuk mempunyai 70 negara anggota.
(Gambar: ISTAF)
BERITAmediacorp: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) semakin hampir mencapai sasarannya untuk mempunyai 70 negara anggota.
Ini dengan Arab Saudi menjadi negara yang ke-62 iaitu yang terbaru menyertai mereka.
Di rantau Timur Tengah, sukan itu semakin mendapat perhatian setelah Iran, Oman dan Iraq juga aktif menyertai kejohanan sepak takraw antarabangsa.
Seterusnya, ISTAF merancang untuk mengembangkan lagi sukan tersebut ke Bahrain pula.
ARAB SAUDI SERTAI LEBIH BANYAK PERLAWANAN MENJELANG SUKAN ASIA 2034
Bagi menyokong usaha tersebut, Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menganjurkan sebuah kursus di Riyadh untuk melatih dan membimbing sekitar 50 jurulatih dan pengadil lelaki dan wanita dari Arab Saudi.
Sepanjang lima hari mereka diberi penerangan dalam aspek kejurulatihan, pengadilan dan pentadbiran.
(Gambar: ISTAF)
Ia juga antara persiapan buat Saudi menghantar pasukan sepak takrawnya bagi Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun dan Sukan Asia 2030 di Doha, Qatar.
Sesi-sesi itu diadakan bagi memenuhi undangan Presiden Jawatankuasa Olimpik Nasional Saudi, Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal untuk juga mempersiapkan pasukan Arab Saudi menjelang Sukan Asia 2034.
"Mereka mahu membuat persiapan agar mempunyai satu pasukan yang muda, yang cekap mempunyai ketrampilan dalam usaha untuk melonjakkan pasukan sepak takraw lelaki dan wanita Saudi," kata Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader.
Dalam pada itu, Encik Halim juga mengundang pasukan sepak takraw Saudi untuk menyertai dalam kejohanan di Korat, Thailand dari 9 hingga 16 Julai depan.
"Kami meletakkan pasukan Saudi dalam divisyen 1 kerana divisyen 1 ini memberi peluang kepada negara-negara baru untuk menunjukkan permainan dan ketrampilan mereka," tambahnya yang juga Presiden ASTAF.
Semasa lawatan ke Riyadh dari 21 hingga 26 Mei lalu, Encik Halim turut disertai Timbalan Setiausaha Agung ASTAF, Muhammad Fariq Halim, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Pengadil ASTAF, Jolly Laboy dan bekas jurulatih skuad wanita Thailand, Veeras Na Nongkhai.
"Saya dan delegasi telah bertemu dengan Putera Fahd Jalawi iaitu Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Nasional Saudi dan beliau telah secara terus terang meminta saya memperbaiki corak perlaksanaan persatuan yang baru ditubuhkan dalam dua bulan ini supaya mereka dapat mengendalikan acara takraw dengan baik. Saya juga telah diminta untuk mengendalikan kursus pentadbiran sukan dan pengadil jurulatih di Jeddah, Makkah dan Dammam," jelas Encik Halim.
MAHU SEPAK TAKRAW DIIKTIRAF JADI SUKAN OLIMPIK
Rantau Timur Tengah itu merupakan rangkaian terbaru ISTAF yang sudah meliputi negara-negara Afrika, Eropah dan Amerika.
Ini sejajar dengan usaha badan itu menaikkan lagi taraf sukan tersebut dengan harapan dapat menjadikan sepak takraw sebagai sukan Olimpik.
(Gambar: ISTAF)
"Inilah usaha ISTAF dalam membawa sukan sepak takraw untuk ke Olimpik dan saya penuh yakin kerana kami akan membuat permohonan supaya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dapat menerima sepak takraw sebagai salah satu sukan yang diiktiraf dalam sukan Olimpik di Paris nanti," ujarnya.
Encik Halim menambah, beliau merancang untuk membawa sebuah lagi delegasi ke Jeddah dan Makkah pada tahun depan bagi menarik minat sepak takraw dalam kalangan belia di kota-kota itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.