Skip to main content

Singapura

Israel mungkin langgar undang-undang antarabangsa dengan sekat bantuan kemanusiaan ke Gaza: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 May 2025 06:02PM Dikemas Kini : 30 May 2025 11:15PM
SINGAPURA: Israel mungkin melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (30 Mei).

Berucap semasa sidang media bersama dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron sebagai sebahagian daripada lawatan negara Encik Macron yang terakhir ke Singapura, PM Wong berkata: "Kami mengatakan bahawa Israel berhak mempertahankan dirinya. Malangnya, tindak balas Israel telah melampaui batas dan tindakannya telah menyebabkan bencana kemanusiaan yang sangat dahsyat; dan sekatan yang dikenakan ke atas penghantaran bekalan kemanusiaan tidak boleh diterima sama sekali.

"Pada pendapat kami, ia mungkin juga melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Lantaran itu, ia tidak boleh dibenarkan," tambah PM Wong.

Pada awal Mei, Israel menarik balik sebahagian sekatan bantuan selama 11 minggu ke atas Gaza. Jumlah bantuan yang terhad telah dibenarkan memasuki Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Gaza Humanitarian Foundation yang disokong oleh Amerika Syarikat.

"Kami menyertai negara-negara di seluruh dunia menyeru gencatan senjata segera; menghantar bantuan kemanusiaan tanpa halangan; melindungi keselamatan orang awam; dan membebaskan semua tebusan," kata PM Wong pada Jumaat (30 Mei).

"Di sebalik krisis itu, Singapura juga menyokong hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri. Ini perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada huraian dua negara yang dirundingkan, kerana itu adalah satu-satunya cara untuk mencapai huraian komprehensif, adil dan berkekalan kepada konflik Israel-Palestin yang telah lama wujud."

PM Wong turut menarik perhatian kepada usaha antarabangsa terhadap krisis tersebut, termasuk persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang Perancis dan Arab Saudi akan menjadi tuan rumah bersama dari 17 hingga 20 Jun. Ia bertujuan untuk membentangkan hala tuju bagi penubuhan negara Palestin, sambil memastikan keselamatan Israel.

Singapura akan mengambil bahagian dalam persidangan itu dan menyertai masyarakat antarabangsa untuk berusaha ke arah huraian yang berkekalan, tambah PM Wong.

Sementara itu, Encik Macron berkata semasa sidang media itu bahawa Perancis akan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap Israel jika ia terus menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza, menurut Reuters.

“Sekiranya tiada tindak balas yang memenuhi situasi kemanusiaan dalam masa beberapa jam dan hari akan datang, jelas sekali, kami akan mengambil pendirian kolektif yang lebih tegas,” kata Encik Macron, semasa berucap dalam Bahasa Perancis.

Reuters juga melaporkan bahawa Encik Macron berkata kewujudan negara Palestin "bukan sekadar tugas moral tetapi juga keperluan politik".

Pada 19 Mei, kenyataan bersama oleh para pemimpin Britain, Perancis dan Kanada turut menekankan bahawa tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan berisiko melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Keesokan harinya, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) mengeluarkan kenyataan terbaharu mengenai konflik itu, yang menyeru gencatan senjata segera dan penghantaran bantuan kemanusiaan disambung semula ke Gaza, di tengah-tengah serangan Israel yang diperhebat.

Israel melancarkan kempen ketenteraannya di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Okt 2023.

Lebih 1,000 orang terbunuh pada hari itu, menurut perangkaan Israel. Pihak berkuasa Gaza berkata konflik itu telah membunuh lebih 54,000 rakyat Palestin.
Sumber : CNA/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita