Skip to main content

Singapura

Iskandar Jalil lambang daya bingkas, tekad S’pura

Anggaran Waktu Membaca:
Iskandar Jalil lambang daya bingkas, tekad S’pura

(Gambar: Tharman Shanmugaratnam/Facebook)

SINGAPURA: Sikap tokoh tembikar Singapura, Iskandar Jalil, yang sentiasa mahu belajar dan menajamkan kemahiran serta keterbukaan dan minatnya dalam budaya lain namun tetap berpegang teguh kepada budaya sendiri, melambangkan masa lalu dan masa depan Singapura.

Demikian menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Tharman Shanmugaratnam, menerusi catatan Facebook.

Encik Tharman berpendapat Hari Kebangsaan kali ini adalah tentang Encik Iskandar.

Menurut Encik Tharman, meskipun sudah berusia 82 tahun, Encik Iskandar tidak mengenal erti lelah dan masih giat menghasilkan barangan tembikar. Malah, Encik Iskandar akan mengadakan pameran pada hujung minggu ini. 

Encik Tharman kagum dengan usaha Encik Iskandar untuk terus belajar dan bereksperimen, dengan merujuk kepada perjalanan hidup Encik Iskandar.

Tokoh itu membesar di Kampong Chantek, di mana tiada paip atau air paip pun, namun kemudian dikenali di merata dunia bagi seni tembikarnya. 

Encik Iskandar bermula sebagai guru matematik dan sains sebelum menerima biasiswa Colombo Plan pada pertengahan usia 20an tahun untuk belajar menenun tekstil di India, dan kemudian menerima biasiswa kedua pada awal usia 30an untuk belajar pula kejuruteraan tembikar di Tajimi Jepun.

Encik Iskandar kerap kembali ke Jepun untuk berhubung dengan senseinya dan terus belajar dan meneroka kaedah baru selepas diangkat sebagai Tokoh Tembikar di Jepun, kongsi Encik Tharman.

Encik Iskandar memberikan komitmen sepanjang hayat  untuk membimbing orang lain dan berkongsi pengetahuannya. Dari mengajar di sekolah-sekolah, hingga ke Institut Vokasional Geylang dan Institut Vokasional Baharuddin, di mana beliau menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya, hingga ke NAFA,  NIE dan NUS, dan kemudian memainkan peranan penting mengasaskan Pusat Seni St Patrick (yang kini merupakan Kolej Seni Lasalle).

Sekarang, setiap hari beliau berada di studionya di Politeknik Temasek.

Encik Tharman juga berkongsi tentang daya kepekaan Encik Iskandar yang sudah mendarah daging.

"Iskandar memberitahu para pelajarnya supaya meneroka dan mempelajari budaya-budaya lain, seperti yang dilakukannya di Jepun, dan supaya menyerap lebih daripada sekadar ilmu teknikal penghasilan tembikar.

"(Iskandar juga menyuruh mereka) mengiktiraf bagaimana pelbagai budaya membentuk jati diri dan warisan kita bersama. Namun beliau juga menerangkan bagaimana singapura tetap menjadi negara kediamannya dan pencetus daya ilhamnya meskipun banyak terdedah kepada pengaruh luar negara," tambah Encik Tharman.

Perkongsian Encik Tharman di Facebook itu menerima komen-komen daripada para pelajar Encik Iskandar sendiri, yang menjulang guru mereka sebagai seseorang yang "cemerlang".

Salah seorang warga siber juga menyifatkan cara  membentuk tembikar yang mudah rapuh dan rumit dengan penuh hati-hati, perhatian, komitmen dan kasih sayang - seperti mana yang dilakukan Encik Iskandar - seakan-akan membentuk sebuah negara. 

"Memetik apa yang beliau ungkapkan sendiri, 'warisan kita, yang termasuk etnik, agama, budaya, sejarah negara dan peribadi, adalah sumber inspirasi yang asli dan tiada penghujungnya'," kongsi Encik Tharman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita