Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ISIS gesa Muslim SG sertai kumpulan pengganas itu: Laporan RSIS

Anggaran Waktu Membaca:
ISIS gesa Muslim SG sertai kumpulan pengganas itu: Laporan RSIS

(Gambar fail: AFP/Welayat Raqa)

Diterbitkan : 04 Jan 2023 07:34PM Dikemas Kini : 05 Jan 2023 12:05AM
SINGAPURA: Sebuah kumpulan pemikir di Singapura menyatakan ISIS pada September 2022 menyeru masyarakat Muslim di Singapura - serta mereka di negara Asia yang lain - supaya menyertai kumpulan pengganas itu.

Demikian menurut laporan yang diterbitkan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) pada Selasa (3 Jan).

Dalam laporan penilaian ancaman yang dilakukan setiap tahun, mengenai trend dan analisis antipengganas bertajuk "Counter Terrorist Trends and Analyses", dekan kumpulan pemikir itu Kumar Ramakrishna menarik perhatian terhadap satu rakaman audio yang dikeluarkan tahun lalu oleh Al-Furqan, saluran media sekutu ISIS.

Dalam rakaman sepanjang 36 minit itu, jurucakap ISIS Abu Umar al-Muhajir menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya menyertai kumpulan pengganas itu.

Gesaan itu ditujukan "terutama sekali" kepada anggota masyarakat Islam di Asia Timur termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia dan Filipina, supaya menyertai kumpulan tersebut kerana mereka didakwa "tertindas dan dipermalukan di rantau ini".

Ia berdasarkan transkrip yang dikeluarkan Pusat Perisikan dan Maklumat Pengganasan Meir Amit di Israel.

Abu Umar juga menyeru para penyokong ISIS di Asia Timur supaya melawan "komunis" serta apa yang disebutnya sebagai orang kafir di negara masing-masing.

Laporan RSIS setebal 116 muka surat itu menarik perhatian bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura telah menilai ancaman daripada "fahaman pelampau dan pengganasan" daripada kumpulan yang berpangkalan di luar negara dan juga individu-individu yang menjadi radikal secara sendiri - kekal tinggi pada tahun 2022.

Dalam bahagian mengenai Singapura, dua penganalisis RSIS Kalicharan Veera Singam dan Abigail Leong antara lain berkata internet terus memainkan peranan utama dalam mengekalkan kegiatan golongan jihad pelampau di merata dunia.

Menurut mereka, 'jihad siber' itu berpotensi menjadi ancaman besar kepada keselamatan di Singapura yang mempunyai tahap ketersambungan digital yang tinggi.

Laporan RSIS mendedahkan bahawa setakat ini, tiada ancaman khusus dari pihak pengganas terhadap Singapura. Ia bagaimanapun memberi amaran bahawa Singapura terus dipaparkan dalam propaganda kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS.

Malah, Singapura kekal menjadi sasaran tinggi bagi pertubuhan pengganas dan individu-individu yang menjadi radikal secara sendiri.

Pengarang laporan tersebut menambah bahawa isu-isu berhubung kaum dan agama terus berisiko memecah belahkan masyarakat Singapura, yang mana ia boleh dimanipulasi oleh golongan radikal.

Mereka merujuk kepada kes warga Australia Andrew Gosling, yang dijatuhi hukuman penjara pada April tahun lalu kerana membaling botol wain dari kondominiumnya ke arah sekumpulan orang Melayu/Islam yang berkumpul di tingkat bawah, dan membunuh seorang lelaki tua.

Tindakannya itu disifatkan oleh pendakwa raya sebagai menunjukkan permusuhan agama.

Bulan lalu, seorang bekas pensyarah politeknik turut dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan berbaur perkauman terhadap pasangan berlainan kaum.

"Walaupun ini adalah insiden terpencil dan sekali sahaja yang bukan sebahagian daripada trend yang lebih meluas, ia menonjolkan peri pentingnya mengekalkan toleransi dan keharmonian dalam masyarakat Singapura, memandangkan iklim global yang kini dicabar oleh ekstremisme dan keganasan agama," kata penganalisis RSIS. 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan