Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isi rumah, syarikat SG harus siap siaga hadapi keadaan kewangan mencabar, menurut MAS

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Nov 2022 02:26PM Dikemas Kini : 25 Nov 2022 10:39PM
SINGAPURA: Walaupun isi rumah, syarikat-syarikat dan sektor kewangan Singapura berdaya tahan terhadap kejutan dalam sistem kewangan, mereka harus bersiap siaga menghadapi keadaan yang lebih mencabar, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Jumaat (25 Nov).

Kewangan syarikat bertambah kukuh semasa pemulihan ekoran pandemik COVID-19, manakala isi rumah disokong oleh perolehan pekerjaan yang teguh dan pertumbuhan gaji yang kukuh, menurut MAS dalam kajian semula kestabilan kewangan tahunannya.

Namun bank pusat Singapura merujuk kepada tiga risiko pertumbuhan yang lebih lemah, inflasi yang lebih tinggi dan keadaan pembiayaan yang lebih ketat.

Pemerintah mengunjurkan ekonomi Singapura berkembang antara 0.5 peratus dengan 2.5 peratus tahun depan, lebih perlahan daripada pertumbuhan 3.5 peratus yang dijangkakan tahun ini.

Pada masa yang sama, inflasi dijangka terus di paras tinggi dengan pasaran buruh yang kukuh dan inflasi import yang tinggi, manakala kekangan berterusan dalam keadaan pembiayaan meningkatkan lagi beban pembayaran hutang peminjam, menurut MAS.

Pada Oktober, MAS mengetatkan dasar kewangan buat kali kelima dalam setahun untuk membantu mengurangkan inflasi. Data terkini menunjukkan inflasi teras berkurangan sedikit kepada 5.1 peratus pada Oktober, tetapi diunjurkan kekal tinggi dalam beberapa suku akan datang.

Penunjuk kerentanan domestik bagi sektor korporat, isi rumah dan kewangan meningkat lebih tinggi, kebanyakannya disebabkan oleh "pengurangan penampan pencegahan akibat pandemik", tambah MAS.

MAS menyeru syarikat-syarikat dan isi rumah agar lebih berhati-hati. Menurut MAS, isi rumah harus berhemat, terutamanya apabila menjalankan tanggungjawab kewangan yang besar seperti pinjaman gadai janji.

Ini supaya mereka dapat menahan diri daripada keadaan kewangan yang dijangka akan diperketatkan lagi pada suku akan datang.

MAS menyatakan firma harus terus memastikan penampan yang mencukupi, termasuk mempunyai aset cair yang mencukupi dan menguruskan kematangan hutang mereka dengan cekap.

RISIKO GLOBAL MENINGKAT
Kajian semula kestabilan kewangan tahunan membentangkan penilaian MAS terhadap daya tahan sistem kewangan Singapura, berdasarkan analisisnya terhadap risiko dan kelemahan global dan domestik.

Ketika dunia keluar daripada pandemik COVID-19 dan pasaran serta ekonomi menyesuaikan diri, MAS menyatakan bahawa risiko terhadap prospek kestabilan kewangan global meningkat.

Ia mengenal pasti "hubungan pertumbuhan-inflasi yang semakin teruk", dengan jangkaan pertumbuhan perlahan pada tahun hadapan manakala inflasi berkemungkinan kekal jauh melebihi sasaran kebanyakan bank pusat.

Perang Rusia-Ukraine yang berterusan terus menyebabkan ketidaktentuan dalam prospek harga komoditi dan rantaian bekalan.

ISI RUMAH DAN SYARIKAT BERDAYA TAHAN
Kerentanan isi rumah meningkat secara sederhana sepanjang tahun lalu, dengan lebih banyak pinjaman hartanah dan hutang jangka pendek - diproksi oleh pinjaman kad kredit - apabila perbelanjaan mengikut budi bicara meningkat dengan pembukaan semula ekonomi Singapura.

MAS menilai bahawa isi rumah mempunyai "ekuiti dan kecairan positif yang mencukupi" untuk mengurangkan risiko penurunan sekiranya berlaku kejatuhan nilai aset dan peningkatan kos pembayaran hutang.

Kebanyakan isi rumah harus kekal berdaya tahan dari segi kewangan walaupun dengan kerugian pendapatan yang ketara dan "kenaikan kadar faedah yang mendadak", manakala pinjaman gadai janji tidak berbayar dijangka kekal rendah.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan