Isi rumah SG boleh tebus hingga S$400 Baucar Iklim mulai 15 Apr
Isi rumah warga Singapura yang layak boleh menuntut dan menebus sehingga S$400 Baucar Iklim untuk membeli produk cekap tenaga dan air mulai Selasa (15 Apr).

Butang "eco" pada mesin basuh. (Gambar fail: iStock)
Isi rumah warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), serta isi rumah warga Singapura yang tinggal di hartanah privet, mempunyai masa sehingga 31 Dis 2027, untuk menuntut dan menebus baucar tersebut.
Baucar Iklim sebelum ini diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawan 2025, di mana beliau berkata isi rumah HDB akan mendapat tambahan S$100 bagi Baucar Iklim. Ini tambahan daripada S$300 dari tahun lalu, yang diberikan di bawah Program Isi Rumah Mesra Iklim.
Program itu juga diperluaskan untuk merangkumi keluarga-keluarga warga Singapura yang tinggal di rumah privet, yang akan menerima S$400 bagi Baucar Iklim.
Baucar itu boleh digunakan di 180 kedai runcit yang mengambil bahagian, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan agensi air negara PUB dalam kenyataan media pada Selasa (15 Apr).
Produk-produk yang layak untuk penggunaan baucar tersebut termasuk peti sejuk yang diberi rating kecekapan tenaga tiga tanda rait dan ke atas oleh NEA, dan alat hawa dingin dengan lima tanda rait.
Program Isi Rumah Mesra Iklim, yang dilancarkan pada November 2020, merupakan satu inisiatif bersama kedua-dua agensi tersebut untuk menggalakkan isi rumah lebih cekap menggunakan tenaga dan air.
Agihan awal Baucar Iklim bernilai S$300 telah diberikan pada 15 Apr tahun lalu.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, NEA menyatakan bahawa sejak pelancaran Program Isi Rumah Mesra Iklim yang dipertingkatkan pada April 2024, lebih 870,000 isi rumah HDB telah menuntut dan menebus baucar iklim mereka.
"Daripada jumlah ini, 47 peratus sudah mula menggunakan baucar mereka untuk menyumbang kepada tindakan iklim dengan beralih kepada peralatan yang lebih cekap tenaga," tambah kenyataan tersebut.
Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata di Parlimen pada 4 Mac bahawa sekitar S$88 juta baucar iklim telah digunakan setakat 31 Jan.
Tiga perkakas rumah teratas yang dibeli ialah kipas arus terus, peti sejuk dan mesin basuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.