Skip to main content

Singapura

Isi rumah SG boleh tebus Baucar CDC S$500 mulai 13 Mei

Isi rumah warga Singapura kini boleh menebus dan menggunakan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$500, umum Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (13 Mei) di Kelab Masyarakat Nee Soon South.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 May 2025 01:33PM Dikemas Kini : 13 May 2025 10:06PM
SINGAPURA: Isi rumah warga Singapura kini boleh menebus dan menggunakan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$500, umum Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (13 Mei) di Kelab Masyarakat Nee Soon South.

Baucar CDC, yang bertujuan untuk membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup, akan dibahagikan sama rata seperti agihan sebelumnya - S$250 untuk dibelanjakan di kedai-kedai kejiranan dan penjaja yang mengambil bahagian, dan S$250 untuk perbelanjaan di pasar raya yang menyokong inisiatif tersebut.

Pasar raya yang mengambil bahagian ialah pasar raya Ang Mo, Cold Storage, Giant Singapore, HAO Mart, NTUC FairPrice, Prime Supermarket, Sheng Siong dan U Stars Supermarket.

Sama seperti agihan sebelumnya, seorang anggota isi rumah warga Singapura boleh melungsuri laman go.gov.sg/cdcv dan log masuk dengan Singpass mereka untuk menuntut baucar digital itu.

Setelah dituntut, SMS daripada gov.sg akan dihantar ke nombor telefon bimbit berdaftar, mengandungi pautan baucar unik yang boleh dikongsi dalam kalangan anggota isi rumah.

Surat pemberitahuan tidak akan dikeluarkan untuk agihan baucar kali ini, tetapi maklumat mengenai proses tuntutan akan tersedia online, melalui iklan akhbar dan poster awam.

Agihan baucar kali ini sah sehingga 31 Dis 2025.

Orang ramai digesa berhati-hati semasa menuntut Baucar CDC dan tidak mendedahkan butiran log masuk bank, memindahkan wang atau memuat turun aplikasi dari 'app store' tidak rasmi, kata Persatuan Rakyat (PA) dan CDC.

Isi rumah akan menerima lagi S$300 Baucar CDC pada Januari 2026 dengan jumlah baucar keseluruhan sebanyak S$800 pada tahun kewangan ini.

BUKAN "SEKALI SAHAJA": PM WONG

Seperti yang diumumkan dalam kenyataan Belanjawan 2025 pada Februari lalu, selain Baucar CDC, semua rakyat dewasa Singapura akan menerima Baucar SG60 pada bulan Julai.

Setiap warga dewasa Singapura akan mendapat S$600, manakala warga emas berumur 60 tahun ke atas akan menerima tambahan S$200.

PM Wong juga mengumumkan pada Februari lalu bahawa ibu bapa yang mempunyai anak berusia bawah 12 tahun akan menerima Kredit LifeSG, dan mereka yang berumur 13 hingga 20 tahun akan menerima tokokan ke dalam Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah. Isi rumah juga akan menerima rebat U-Save.

Ini bermakna sebuah keluarga empat anggota dengan dua anak kecil akan menerima sekitar S$5,000 sebagai sokongan pada tahun kewangan ini, kata PM Wong pada Selasa (13 Mei).

Beliau menambah bahawa ini bukan "agihan sekali sahaja" dan pemerintah akan menghulurkan bantuan selagi ia diperlukan.

"Kami akan terus menyemak dan mengemas kini serta mengukuhkan sistem sokongan sosial kami merentasi pelbagai bidang - sama ada perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan atau persaraan," katanya.

“Kami telah memulakan proses ini baru-baru ini melalui Melakar Hala Tuju Singapura, dan kami akan meneruskannua pada tahun-tahun mendatang.

"Semua kemas kini, perubahan, penambahbaikan pada dasar ini, akan membantu memberikan rakyat Singapura jaminan yang lebih besar melalui setiap peringkat kehidupan."

Mengenai sama ada ia boleh ditampung untuk terus menyediakan baucar, PM Wong berkata ini adalah "satu soalan yang wajar ditanya" dan pemerintah perlu memastikan perbelanjaannya mampan dalam jangka sederhana hingga panjang.

"Sebab itu, pada awal dekad ini, apabila kita melihat terdapat jurang pembiayaan pada kewangan awam, perbelanjaan kewangan kita akan meningkat, tetapi pendapatan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kita, kita memutuskan untuk membuat perubahan pada cukai dan meningkatkan cukai," kata PM Wong.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar untuk dibuat. Ia sememangnya tidak popular, tetapi ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan, dan ia satu perkara yang bertanggungjawab untuk dilakukan.

"Oleh kerana kami melakukannya, hari ini, kami berada dalam kedudukan fiskal yang sihat dan kukuh, dan hari ini kami mempunyai sumber yang kami perlukan untuk melindungi rakyat Singapura, untuk melindungi anda daripada kenaikan kos sara hidup."

Turut hadir di acara pelancaran agihan terbaharu Baucar CDC ialah lima datuk bandar - Cik Low Yen Ling, Cik Denise Phua, Encik Desmond Choo, Encik Alex Yam dan Encik Fahmi Aliman.

Setakat sehingga Isnin, sekitar 97.3 peratus isi rumah warga Singapura, termasuk isi rumah baharu, telah menuntut Baucar CDC sebelumnya yang dikeluarkan pada Januari, kata PA dan CDC.

Daripada baucar yang ditebus, lebih S$324 juta – atau 83.4 peratus – telah dibelanjakan.

Secara keseluruhannya, lebih daripada S$1.92 bilion telah dibelanjakan sejak Skim Baucar CDC dilancarkan pada Disember 2021. Sebanyak S$1.06 bilion telah dibelanjakan untuk penjaja dan peniaga kawasan kejiranan manakala lebih S$857 juta dibelanjakan di pasar raya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita