Isi rumah SG boleh tebus Baucar CDC bernilai S$500 mulai 11 Jun
Isi rumah warga Singapura boleh menebus dan menggunakan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$500 mulai Khamis (11 Jun).
- Pemerintah Singapura mempercepatkan pengagihan Baucar CDC bernilai S$500 kepada 1.38 juta isi rumah bermula 11 Jun untuk membantu menangani kos sara hidup.
- Baucar boleh digunakan di lebih 24,000 gerai penjaja, perniagaan kawasan kejiranan, dan pasar raya terpilih sehingga 31 Disember 2027.
- Langkah ini diambil susulan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Timur Tengah dan jangkaan inflasi yang mungkin meningkat.
- Penebusan dilakukan secara digital melalui Singpass, dan kadar penggunaan baucar sebelum ini menunjukkan skim ini mudah diakses serta bermanfaat kepada rakyat.
Baucar tersebut pada asalnya dijadual untuk diagihkan pada Januari 2027, namun tarikh tersebut diawalkan bagi membantu isi rumah menguruskan tekanan kos sara hidup di tengah-tengah ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah.
Pusingan baucar itu, yang pertama kali diumumkan dalam Belanjawan 2026, akan menelan kos S$700.07 juta dan dijangka memberi manfaat kepada sekitar 1.38 juta isi rumah warga Singapura. Baucar tersebut sah digunakan sehingga 31 Disember 2027.
Seperti pusingan sebelum ini, jumlah S$500 itu akan dibahagikan secara sama rata – separuh untuk dibelanjakan di lebih 24,000 gerai penjaja dan perniagaan kawasan kejiranan yang mengambil bahagian, manakala separuh lagi boleh digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian.
Berucap semasa pelancaran baucar tersebut pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata kesan konflik di Timur Tengah setakat ini "tidak seteruk yang kami bimbangkan".
Beliau menarik perhatian bahawa inflasi teras mereda kepada 1.4 peratus pada April, berbanding 1.7 peratus pada Mac.
Namun, memandangkan keadaan "masih berubah-ubah", pemerintah bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi jika perlu, kata Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan serta Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura.
"Pemerintah akan terus memantau perkembangan dengan teliti. Dan apabila perlu, kami akan bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi, seperti yang sentiasa kami lakukan sebelum ini."
Beliau menambah bahawa tekanan kos import dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang apabila kenaikan kos tenaga dan kos input lain mula memberi kesan kepada rantaian bekalan global.
Ini bermakna inflasi mungkin meningkat dalam bulan-bulan mendatang, kata beliau.
Menurut Encik Gan, baucar CDC merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk membantu rakyat Singapura menguruskan perbelanjaan harian selain menyokong penjaja dan peniaga kawasan kejiranan.
Datuk Bandar Daerah Barat Daya Low Yen Ling, yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, berkata 94.5 peratus baucar daripada pusingan Januari 2026 sudah ditebus.
Daripada jumlah itu, 80.1 peratus sudah dibelanjakan setakat ini, dengan sekitar S$151 juta dibelanjakan di pusat penjaja dan perniagaan kawasan kejiranan yang mengambil bahagian, manakala S$158 juta lagi dibelanjakan di pasar raya yang mengambil bahagian, tambah beliau.
"Kadar penggunaan yang tinggi menunjukkan bahawa rakyat Singapura mendapati skim Baucar CDC ini berguna dan mudah untuk diakses," kata Cik Low.
Sehingga 3 Jun, lebih S$4.64 bilion sudah dibelanjakan menerusi lapan pusingan Baucar CDC dan dua pusingan baucar SG60, tambah beliau.
CARA MENEBUS BAUCAR
Seperti pusingan-pusingan terdahulu, seorang anggota daripada setiap isi rumah warga Singapura boleh melayari go.gov.sg/cdcv dan mengelog masuk menggunakan Singpass untuk menebus baucar digital tersebut.
Selepas baucar ditebus, nombor telefon bimbit yang didaftarkan akan menerima mesej SMS daripada gov.sg yang mengandungi pautan baucar unik yang boleh dikongsikan dengan anggota isi rumah lain.
Persatuan Rakyat (PA) dan lima CDC dalam satu kenyataan media berasingan memaklumkan bahawa pautan SMS bagi pusingan kali ini berbeza daripada pautan yang digunakan bagi pusingan Januari 2026.
Pasar raya yang mengambil bahagian ialah Ang Mo Supermarket, Cold Storage, Giant Singapore, HAO Mart, NTUC FairPrice, Prime Supermarket, Sheng Siong dan U Stars Supermarket.
Skim Baucar CDC diperkenalkan pada Jun 2020 dan Januari 2021 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah serta menyokong para penjaja dan perniagaan kawasan kejiranan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sejak Belanjawan 2021, baucar tersebut diagihkan setiap tahun kepada semua isi rumah warga Singapura.
Dalam tiga pusingan terakhir, isi rumah menerima baucar bernilai S$300 pada Januari 2025, S$500 pada Mei 2025 dan S$300 pada Januari 2026.
Baucar Januari 2026 akan tamat tempoh pada 31 Disember 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.