Skip to main content

Singapura

Isi rumah SG boleh tebus Baucar CDC bernilai S$300 mulai 3 Jan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jan 2025 12:45PM Dikemas Kini : 03 Jan 2025 08:53PM
SINGAPURA: Isi rumah warga Singapura boleh menebus dan menggunakan baucar S$300 Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) mulai Jumaat (3 Jan).

Baucar CDC, yang bertujuan untuk membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup, adalah untuk digunakan di gerai-gerai penjaja yang mengambil bahagian, peniaga kawasan kejiranan dan pasar raya.

Sama seperti agihan sebelumnya, Baucar CDC boleh ditebus secara digital melalui go.gov.sg/cdcv.

Bagi pihak isi rumah mereka, seorang ahli isi rumah boleh log masuk dengan akaun Singpass mereka untuk menuntut bahagian baucar terkini, yang sah sehingga 31 Dis 2025.

Selepas menuntut baucar, pihak yang menuntut akan menerima SMS dengan
pautan baucar unik yang dihantar dari "gov.sg" ke nombor telefon bimbit berdaftar mereka. Pautan ini boleh dikongsi dengan ahli isi rumah yang lain.

Sama seperti agihan sebelumnya, separuh daripada baucar tersebut boleh digunakan untuk melanggani peniaga dan penjaja yang mengambil bahagian, dan selebihnya di pasar raya.

Pengendali kedai kopi swasta baru-baru ini turut dilantik sebagai peniaga yang mengambil bahagian, dengan kira-kira 600 gerai kedai kopi menyediakan pilihan hidangan hemat dan menerima bayaran yang menggunakan Baucar CDC.

Para penduduk boleh mendapatkan senarai perniagaan yang mengambil bahagian melalui go.gov.sg/cdcvouchers.

Skim Baucar CDC pertama kali dilancarkan pada Jun 2020 untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah menampung kos sara hidup mereka, dan untuk menyokong penjaja dan peniaga yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Berucap semasa majlis pelancarannya di Pusat Bandar Marine Parade pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata bahawa pascapandemik, inflasi kekal tinggi disebabkan oleh gabungan palbagai faktor.

Ini termasuk permintaan bagi perkhidmatan, krisis geopolitik seperti perang di Ukraine dan gangguan pada rantaian bekalan.

"Oleh itu, kami meneruskan Skim Baucar CDC untuk membantu rakyat Singapura mengimbangi kesan kenaikan harga," kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Skim ini telah diperluaskan pada 2021 untuk merangkumi semua isi rumah.

Tahun lalu, isi rumah boleh menuntut dua agihan baucar bernilai S$800 secara keseluruhannya. Baucar-baucar tersebut sah sehingga 31 Dis.

Secara keseluruhannya, sekitar S$1.6 bilion telah dibelanjakan sejak pelancaran Skim Baucar CDC digital pada Disember 2021.

Sebanyak S$907 juta telah dibelanjakan untuk penjaja yang mengambil bahagian dan peniaga di kawasan-kawasan kejiranan, manakala S$689 juta telah dibelanjakan di pasar raya yang mengambil bahagian.

Baucar yang dilancarkan pada Jumaat (3 Jan) diumumkan semasa Belanjawan 2024 sebagai sebahagian daripada penambahan S$1.9 bilion kepada Pakej Jaminan, semasa Timbalan Perdana Menteri ketika itu Lawrence Wong berkata rakyat Singapura akan mendapat lebih banyak bantuan bagi menampung dan mengimbangi kesan kos sara hidup.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita