Isi rumah SG akan terima Baucar CDC bernilai $500 mulai 13 Mei
Isi rumah warga Singapura akan menerima S$500 dalam bentuk Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) mulai 13 Mei.

Pelekat di sebuah kedai yang menunjukkan bahawa ia menyokong skim Baucar CDC. (Gambar: TODAY)
Baucar itu akan diperuntukkan sama seperti setiap agihan sebelumnya - S$250 untuk perbelanjaan di peniaga kawasan kejiranan dan penjaja yang mengambil bahagian, dan S$250 untuk perbelanjaan di pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim baucar tersebut.
Isi rumah juga akan menerima lagi S$300 dalam Baucar CDC pada Januari 2026 dengan jumlah keseluruhan baucar sebanyak S$800 pada tahun kewangan ini.
Ini diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada Febuari lalu semasa membentangkan Belanjawan 2025, sebagai sebahagian daripada peningkatan pada Pakej Jaminan.
Pada Januari lalu, isi rumah turut menerima Baucar CDC S$300.
Baucar CDC, yang bertujuan untuk membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup, adalah untuk digunakan di penjaja, peniaga dan pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim tersebut.
Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (15 Apr), Menteri Negara Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling menyatakan bahawa lebih 1.28 juta isi rumah warga Singapura telah menuntut Baucar CDC pada Januari lalu.
"Hampir S$300 juta, yang mana lebih S$142 juta telah dibelanjakan untuk penjaja yang mengambil bahagian dan peniaga di kawasan kejiranan, dan lebih S$157 juta telah dibelanjakan di pasar raya yang mengambil bahagian," katanya lagi.
Skim baucar CDC dijangka menelan belanja S$1.06 bilion pada tahun kewangan ini.
Butiran lanjut tentang cara-cara untuk menuntut dan menebus Baucar CDC bagi agihan pada Mei akan diumumkan tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.