Skip to main content

Singapura

Isi rumah boleh derma baucar CDC 2023 tidak terpakai kepada badan amal bermula 1 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Setiap isi rumah rakyat Singapura boleh mendermakan baucar
Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang tidak digunakan bermula 1 Disember hingga 31 Januari 2024.

Baucar yang didermakan akan disalurkan kepada badan amal yang dipilih isi rumah itu sendiri, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Isnin (27 Nov).

Encik Tong menambah bahawa baucar bernilai sekitar S$1.9 juta didermakan pada 2021 dan 2022 kepada 245 badan amal semasa kutipan derma tahun lalu.

Kira-kira 9,880 isi rumah mendermakan baucar mereka yang tidak terpakai semasa kutipan derma tersebut, yang berlangsung dari 20 Disember 2022 hingga 31 Januari 2023.

Encik Tong mengumumkan kutipan derma tahun ini semasa majlis makan tengah hari CDC di Auditorium Persatuan Rakyat (AP), yang dihadiri sekitar 300 tetamu dari pelbagai pertubuhan.

Seperti tahun lalu, isi rumah rakyat Singapura boleh mendermakan baucar yang tidak digunakan di vouchers.cdc.gov.sg, umum CDC dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Setiap isi rumah berpeluang untuk memilih badan amal pilihan mereka, dan harus log masuk melalui Singpass untuk membuat sumbangan tersebut.

Encik Tong berkata bahawa sejak awal November, kira-kira 99 peratus isi rumah rakyat Singapura sudah menggunakan baucar CDC tahun ini. Daripada jumlah itu, 88 peratus menggunakannya di pusat penjaja, kedai kejiranan dan pasar raya.

Tahun ini, setiap isi rumah rakyat Singapura menerima baucar CDC bernilai S$300. S$150 untuk perbelanjaan di pasar raya, manakala baki S$150 untuk perbelanjaan di pusat penjaja dan kedai kejiranan.

Setiap isi rumah akan menerima baucar CDC S$500 tahun depan.

Separuh daripada jumlah tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan di pasar raya dan separuh lagi untuk perbelanjaan di pusat penjaja dan kedai kejiranan.

CDC mendedahkan dalam kenyataan medianya bahawa butiran lanjut mengenai skim baucar CDC 2024 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita