Skip to main content

Singapura

ISEAS - Institut Yusof Ishak pelawa orang ramai coret ucapan takziah buat Puan Noor Aishah

Anggaran Waktu Membaca:
ISEAS - Institut Yusof Ishak pelawa orang ramai coret ucapan takziah buat Puan Noor Aishah

ISEAS - Institut Yusof Ishak pelawa orang ramai coret ucapan takziah buat Puan Noor Aishah. (Gambar: ISEAS - Institut Yusof Ishak/Facebook)

Diterbitkan : 25 Apr 2025 03:37PM Dikemas Kini : 25 Apr 2025 03:38PM
SINGAPURA: ISEAS - Institut Yusof Ishak mempelawa orang ramai untuk membuat coretan ucapan takziah buat balu presiden pertama Singapura, Puan Noor Aishah Mohammad Salim, yang berpulang pada 22 April lalu.

Buku takziah itu disediakan di Galeri Yusof Ishak, yang bertempat di Perpustakaan ISEAS, sehingga 30 April ini.

Perpustakaan itu juga dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari-hari biasa.

Di laman Facebooknya, Lembaga Pemegang Amanah, pengurusan serta kakitangan ISEAS – Institut Yusof Ishak turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhumah.

"Kami menyampaikan ucapan takziah yang sangat mendalam kepada Dr Imran Yusof Ishak dan keluarganya atas pemergian ibu mereka," tulisnya di laman Facebook baru-baru ini.

Almarhumah Puan Noor Aishah adalah balu Encik Yusof Ishak, yang juga Presiden pertama Singapura.

Pada 2015, apabila Institut Pengajian Asia Tenggara dinamakan semula sebagai ISEAS – Institut Yusof Ishak bagi menyanjungi Presiden Yusof Ishak sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-105, Puan Noor Aishah turut merasmikan pelancaran Galeri Yusof Ishak di ISEAS.

MASJID YUSOF ISHAK BERI PENGHORMATAN

Sehubungan itu, Masjid Yusof Ishak baru-baru ini juga menyediakan ruang khas untuk jemaah menulis ucapan takziah dan iringan doa buat Almarhumah Puan Noor Aishah.

Sudut itu bagaimanapun hanya dibuka sehingga 24 April.

Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Mohd Fairuz Shah menulis di laman Facebook masjid itu: "Dengan penuh rasa dukacita, kami seluruh warga Masjid Yusof Ishak merakamkan ucapan takziah dan doa yang tulus atas pemergian Almarhumah Puan Noor Aishah.

"Almarhumah merupakan lambang wanita berwibawa, dan penuh sumbangan terhadap masyarakat dan negara.

"Almarhumah dikenang sebagai seorang tokoh wanita yang mesra, lembut budi dan tinggi jasanya.

"Almarhumah bukan sekadar sebagai isteri kepada pemimpin negara, tetapi juga sebagai ikon wanita yang banyak menyumbang dalam bidang sosial dan kebajikan.

"Kami mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya, dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh dan dimuliakan."

Almarhumah Puan Noor Aishah juga merupakan Penaung Palang Merah Singapura serta Persatuan Pandu Puteri.

Pada 1964, beliau dianugerahi Pingat Bakti Cemerlang (Pingat Perkhidmatan Cemerlang; kemudiannya digantikan dengan Darjah Utama Bakti Cemerlang, atau Pingat Perkhidmatan Cemerlang) atas sumbangannya dalam kebajikan sosial.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita