ISD lancar biasiswa bagi pelajar maktab rendah, politeknik
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) melancarkan laluan biasiswa baharu bagi pelajar maktab rendah dan politeknik.
Ibu pejabat MHA di Singapura. (Gambar fail: TODAY)
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, ISD menyatakan pada Rabu (3 Sep) ia adalah kali pertama ia memberikan biasiswa itu, yang dinamakan Biasiswa ISD Maktab Rendah dan Politeknik.
Biasiswa itu adalah "sebahagian daripada rancangan strategik jangka panjang kami untuk mempertingkatkan usaha menarik bakat dan mempunyai titik sentuh awal dengan segmen sasaran kami", menurut ISD sambil menambah usaha pengambilan pekerja "dipergiatkan" dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"ISD menawarkan biasiswa sebagai sebahagian daripada usaha menarik bakat holistik bagi memastikan calon-calon hebat menyertai kami untuk berkhidmat dalam misi unik kami bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan Singapura."
Ia mengumumkan biasiswa tanpa ikatan bon itu dalam satu catatan Facebook pada 19 Ogos.
Menurut ISD, para pelajar tahun pertama di maktab rendah, tahun pertama dan kedua di politeknik dan tahun kelima dalam program Baccalaureate Antarabangsa (IB) layak mohon bagi biasiswa itu.
Mereka mestilah Singapura dan berminat untuk menjaga keselamatan dalaman negara, antara kelayakan lain.
Apabila ditanya jika para pemegang biasiswa itu akan ditawarkan pekerjaan sepenuh masa bersama ISD, ia menyatakan setiap pelajar akan "dinilai secara holistik" berdasarkan "kecekapan dan kesesuaian" dengan pertubuhan itu dan peranan pekerjaan.
Ia menambah di bawah biasiswa itu, para pelajar boleh mengikuti program pendedahan dengan ISD untuk mengetahui lebih lanjut tentang tugas agensi itu, serta bertemu dengan pegawai ISD bagi mendapatkan lebih pencerahan tentang kerjaya bersama ISD.
Mereka yang dipilih juga akan diberikan hadiah wang tunai sekali sebanyak S$2,500.
Sebagai salah satu jabatan di bawah Kementerian Ehwal dalam Negeri, ISD menangani isu-isu keselamatan dan ancaman yang dihadapi oleh Singapura.
Pada 2023, mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada ketika itu berkata di majlis makan malam gala sempena ulang tahun ke-75 ISD bahawa ia sedang menimbangkan untuk mendapatkan golongan muda untuk menyertai pasukannya.
"ISD tidak lagi hanya beroperasi dalam bayang-bayangan. Ia kini tampil untuk berkongsi sumbangan ISD dalam pameran muzium, menggunakan nama ISD di pesta-pesta pekerjaan, menarik minat dan pertanyaan dan mendapatkan generasi baharu anak muda yang ceria, idealistik dan bersemangat awam untuk menyertai pasukan ini," katanya.
"Ini adalah langkah-langkah berpandangan ke hadapan yang dapat membantu ISD menjadi agensi perisikan kelas pertama yang Singapura perlukan, untuk masa lama yang akan datang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.