Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Iris Koh, doktor & pembantu doktor terkait kumpulan Healing the Divide dikenakan lebih banyak tuduhan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Iris Koh, pengasas kumpulan Healing the Divide yang dikenali dengan pendirian terhadap vaksinasi COVID-19, pada Rabu (27 Jul) dikenakan dua lagi tuduhan kerana bersubahat untuk menipu Kementerian Kesihatan (MOH).

Koh, 46 tahun, hadir di mahkamah pada Rabu dan kini berdepan dengan empat tuduhan keseluruhannya. Dia diberikan kebenaran untuk melakukan perjalanan ke Malaysia bulan lalu bagi mendapatkan rawatan barah.
Dua tuduhan barunya itu melibatkan Jipson Quah, seorang doktor yang dikaitkan dengan kumpulan Healing the Divide, dan pembantunya, Thomas Chua Cheng Soon. Dua lelaki itu juga dikenakan beberapa tuduhan baru pada Rabu.

Koh dituduh berpakat dengan Quah, Chua dan seorang lagi individu, bernama Cedric Lim Junqi @ Mohammad Daniel Lim dalam kertas pertuduhan, untuk memberikan maklumat palsu kepada MOH bahawa Lim sudahpun disuntik vaksin Sinopharm sedangkan dia tidak menerima sebarang vaksin. Perkara tersebut dipercayai berlaku pada 14 Januari.

Wanita itu juga dituduh bersubahat dengan Quah dan seorang lagi lelaki bernama Gary Tho Kong Choong untuk berbohong kepada MOH bahawa Tho sudahpun divaksin pada 20 Oktober 2021.
DOKTOR DAN PEMBANTU DOKTOR DIKENAKAN LEBIH BANYAK TUDUHAN

Quah, 34 tahun, dan pembantunya, Chua, 40 tahun, masing-masing kini dikenakan sepuluh tuduhan dan tujuh tuduhan selepas dikenakan beberapa tuduhan baru.

Kedua-dua lelaki itu masing-masing berdepan satu tuduhan sebelum ini kerana bersubahat untuk memberikan maklumat palsu kepada MOH bahawa seorang wanita menerima suntikan vaksin Sinopharm sedangkan perkara itu tidak berlaku, antara Disember 2021 ke Januari tahun ini.

Tuduhan itu dipinda pada Rabu (27 Jul) untuk menyenaraikan nama penuh wanita tersebut sebagai Mehrajunnisha-Quaide Milath dan satu lagi nama tambahan, Quaide Milath, sebagai sebahagian daripada komplot itu.

Quah kini dituduh bersubahat untuk menipu MOH dengan mendakwa bahawa sembilan orang lagi menerima suntikan vaksin Sinopharm sedangkan mereka tidak menerima sebarang vaksin. Enam daripada tuduhannya turut membabitkan Chua.
Kesalahan memberi maklumat palsu kepada MOH membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan secara sengaja menghalang penjawat awam daripada menjalankan tanggungjawab awam mereka, Koh boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda tidak melebihi S$2,500 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan