Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IRAS tolak tuntutan 1,300 majikan; 10 kes salah guna JSS dilapor kepada polis

Bayaran sejumlah S$32 juta daripada  Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) bagi agihan pada bulan Mac dinafikan kepada 1,300 majikan, dengan 10 kes dirujuk kepada polis bagi siasatan lanjut. 

Anggaran Waktu Membaca:
IRAS tolak tuntutan 1,300 majikan; 10 kes salah guna JSS dilapor kepada polis

Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 31 May 2021 12:31PM Dikemas Kini : 31 May 2021 12:33PM

SINGAPURA: Bayaran sejumlah S$32 juta daripada Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) bagi agihan pada bulan Mac dinafikan kepada 1,300 majikan, dengan 10 kes dirujuk kepada polis bagi siasatan lanjut.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada bayaran keseluruhan bernilai S$85 juta yang ditahan daripada 2,600 majikan pada Mac bagi pemeriksaan lanjut, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dalam kenyataan pada Isnin (31 Mei).

Ia meliputi kira-kira S$52 juta dalam bayaran JSS dan S$33 juta bagi bayaran JGI, menurut IRAS. Penguasa itu menambah langkah tersebut bagi memastikan bayaran JSS dan JGI diagihkan dengan adil dan dengan betul.

IRAS menyatakan majikan yang terlibat perlu menyerahkan dokumen untuk mengesahkan kesahan dan ketepatan maklumatnya.

“Para majikan akan menerima bayaran JSS dan JGI mereka sebaik sahaja IRAS mengesahkan kesahihan dan ketepatan maklumat yang diserahkan. Bayaran mereka akan disesuaikan atau ditolak jika timbul isu-isu semasa semakan dijalankan," tambahnya.

Kes-kes yang disyaki sebagai penyalahgunaan dana akan dirujuk kepada polis, tambah IRAS.

Penguasa itu juga menyatakan ia sejauh ini sudah merujukkan 10 kes kepada pihak polis yang disyaki menyalahgunakan JSS.

Sehingga lewat Mei, penguasa tersebut menyatakan ia sudahpun menyemak lebih 800 bayaran JSS dan hampir 1,100 bayaran JGI daripada agihan yang diperuntukkan bagi Mac dengan bayaran sekitar S$16 juta dinafikan bagi setiap skim.

"Ini bersamaan lebih 500 dan 800 majikan yang masing-masing telah dinafikan bayaran mereka untuk JSS dan JGI pada bulan Mac 2021," menurut IRAS.

IRAS menyatakan ia juga sudah menerima lebih 500 aduan daripada para pemberi maklumat berhubung majikan-majikan yang disyaki menyalahgunakan skim-skim JSS dan JGI.

Penguasa itu menambah ia sudah menerima pelbagai kes yang disyaki adalah penyalahgunaan dana termasuk:

  • Majikan membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi bukan pekerja
  • Majikan menaikkan caruman CPF bagi pekerja tanpa kenaikan gaji sebenar
  • Majikan mengekalkan caruman CPF bagi pekerja yang menghadapi pemotongan gaji

IRAS menyatakan sebarang percubaan untuk menyalahgunakan skim itu boleh membawa kepada hukuman yang berat.

Selain dinafikan bayaran, majikan mungkin dipertanggungjawabkan atas kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Sesiapa yang mahu melaporkan sebarang penyelewengan atau penyalahgunaan dana boleh mengirimkan emel ke jssreport [at] iras.gov.sg atau jgireport [at] iras.gov.sg atau melungsuri lelaman go.gov.sg/jssreport atau go.gov.sg/jgireport bagi JSS dan JGI. 

Sumber : Today/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa