Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IRAS beri amaran terhadap penipuan emel beritahu mangsa seolah akaun disekat

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jan 2022 05:16PM Dikemas Kini : 22 Jan 2022 12:00AM

SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) memberi amaran kepada orang ramai supaya mengabaikan emel yang mendakwa bahawa akaun bank para penerima disekat daripada menerima jumlah wang yang besar dalam 'dana yang dijangkakan'.

Emel tersebut kononnya dihantar oleh pihak berkuasa itu.

Untuk memperbetulkan perkara ini, penerima dikehendaki mendapatkan surat pengesahan atau membeli pas kelulusan, menurut arahan yang diberi dalam e-mel berkenaan.

"IRAS ingin menasihati bahawa pihak kami tidak akan meminta anda untuk dapatkan sebarang pas kelulusan untuk membuat pindahan dana," menurut penguasa cukai itu dalam satu makluman yang dikeluarkan hari ini (21 Jan).

Penipuan menerusi emel tersebut, yang ditandatangani nama pesuruhjaya IRAS, memberitahu penerima bahawa akaun seolah-olah sudah disekat oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) daripada "menerima dana yang dijangkakan sebanyak S$20,000,000".

Ia turut menyatakan bahawa satu "surat bertulis daripada Yayasan Bill Gate" diperlukan untuk mengesahkan sumber dana tersebut.

Sebagai alternatif, penerima juga boleh "membeli pas dana kelulusan antarabangsa yang akan diterima oleh MAS".

IRAS menasihatkan orang ramai supaya tidak membalas, memberikan sebarang butiran peribadi, membuat sebarang pembayaran atau mengikuti sebarang arahan daripada pengirim.

Penerima emel yang terjejas oleh penipuan itu digesa membuat laporan polis.

Penipuan emel membabitkan IRAS itu adalah yang terbaru dalam siri skim penipuan, dengan penipuan memancing data yang menyasarkan pelanggan bank OCBC menjadi yang paling besar sejauh ini.

Mangsa dilaporkan menerima kiriman SMS daripada penipu yang menyamar sebagai bank dan mendakwa terdapat masalah pada akaun atau kad kredit mereka.

Hampir 470 orang kehilangan sekurang-kurangnya S$8.5 juta sejak Disember tahun lalu.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan