Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IRAS beri amaran gunakan kenaikan GST sebagai alasan letak harga tinggi akan disiasat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menjelang kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada 7 peratus kepada 8 peratus yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2023, Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Jumaat (23 Dis) menyatakan bahawa sebilangan perniagaan didapati menaikkan harga atau bayaran perkhidmatan untuk mengambil kira kenaikan yang bakal berlaku itu.

Walaupun perniagaan itu menarik perhatian kepada kos bahan mentah dan kos tetap yang lebih tinggi, mereka terutamanya mengaitkan kenaikan harga dengan kenaikan GST kelak.

"Menjelang kenaikan kadar GST, Pemerintah ingin mengingati perniagaan agar bersikap telus dalam menjelaskan sebab bagi sebarang kenaikan harga kepada para pengguna," nyata IRAS dalam satu makluman yang dikemas kini.

"Perniagaan patut menjelaskan sebab-sebab utama kenaikan harga/yuran dan tidak memberi gambaran yang salah tentang situasi itu kepada para pengguna dengan mengaitkan kenaikan harga itu sebahagian besarnya atau semata-mata hanya disebabkan oleh kenaikan GST."

Jawatankuasa Menentang Pencatutan (CAP) memandang serius terhadap sebarang kenaikan harga yang tidak wajar dan hanya menggunakan kenaikan GST sebagai alasan semata-mata. Pihak CAP akan menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima berhubung kes-kes sedemikian," tambahnya.

CAP, yang pertama kali diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawan pada Februari 2022, dihimpunkan pada 16 Mac bagi mengadakan mesyuarat sulungnya.

Menurut Pengerusi jawatankuasa itu, yang juga merupakan Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling, CAP ditubuhkan untuk menangani kebimbangan yang wujud berhubung perniagaan-perniagaan yang menggunakan kenaikan GST sebagai alasan bagi menaikkan harga.

Tambah beliau, jawatankuasa itu akan memantau dengan rapi harga-harga barangan dan perkhidmatan pentng. Jawatankuasa itu juga akan menyemak semula dan menyiasat maklum balas yang diterima mengenai kenaikan harga yang "tidak wajar".

IRAS juga sedang menggesa perniagaan supaya melakukan persiapan awal bagi memastikan peralihan yang lancar kepada kadar GST yang baru itu.

STATUS QUO GST SEHINGGA 1 JAN

Dalam maklumannya, IRAS menyatakan bahawa perniagaan patut mengenakan GST pada kadar semasa sewaktu urus niaga bekalan. Ini bermakna sekiranya mereka mengeluarkan invois atau menerima pembayaran bagi barangan dan perkhidmatannya sebelum 1 Januari, mereka patut mengenakan GST pada kadar semasa iaitu 7 peratus ke atas bekalan itu.

Bagi bekalan yang disediakan pada atau selepas 1 Januari, perniagaan sebaliknya patut mengenakan GST pada kadar baru iaitu 8 peratus. Ini melainkan mereka sudahpun memilih untuk mengenakan GST pada kadar 7 peratus di bawah peraturan peralihan pertukaran kadar yang tertakluk kepada syarat-syarat pemilihan.

IRAS maklum bahawa perniagaan mesti juga mengambil kira GST pada kadar 8 peratus dalam pulangan GST, tidak kira sama ada mereka sudah mengambil pembayaran GST daripada pelanggan mereka atau tidak.

IRAS menegaskan bahawa perniagaan yang gagal untuk mengambil kira GST bagi bekalan mereka pada kadar yang betul boleh dikenakan penalti.

MENJELASKAN KENAIKAN HARGA

IRAS menekankan bahawa perniagaan mesti menunjukkan harga termasuk GST bagi kesemua harga yang dipaparkan kepada orang ramai, kecuali bagi hotel dan syarikat makanan dan minuman (F&B) yang mengenakan caj perkhidmatan ke atas barangan serta perkhidmatan mereka.

Dengan perubahan pada kadar GST, harga yang dinyatakan - sama ada secara tulisan atau lisan - berkuat kuasa 1 Januari mesti sudah termasuk GST 8 peratus.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan