Irama Gamelan Asmaradana antara persembahan hidupkan suasana Pesta Malam Singapura
Pesta Malam Singapura edisi ke-12 tahun ini menampilkan sekitar 17 pemasangan lampu yang berwarna-warni.
SINGAPURA: Pesta Malam Singapura edisi ke-12 tahun ini menampilkan sekitar 17 pemasangan lampu yang berwarna-warni. Dilancarkan pada 23 Ogos, daerah Bras Basah dan Bugis sekali lagi dhias dengan cahaya, warna dan bunyi sehingga Sabtu (31 Ogos).
Selain daripada pameran, orang ramai juga dimeriahkan dengan 40 persembahan di seluruh kawasan itu termasuk persembahan muzik dan tarian. Sempena meraikan Dwiabad Singapura beberapa karya dalam pesta kali ini bertujuan membangkitkan sejarah dengan memberi tumpuan kepada aspek tradisi, warisan serta legenda-legenda dalam budaya-budaya Asia Tenggara.
GAMELAN ASMARADANA SERIKAN MALAM
Kisah Ramayana - legenda purba dalam kesusasteraan dunia disajikan dalam bentuk tradisi Jawa melalui irama gamelan dan tembang oleh kumpulan Gamelan Asmaradana.
Meski mengekalkan irama nada Jawa, persembahannya di Pesta Malam Singapura, disuntik sentuhan kreatif yang berlainan sedikit.
"Penonton boleh melihat yang gamelan Jawa dan alat muzik Barat sebenarnya boleh dimainkan dalam satu panggung atau pementasan. Kita mengharapkan yang penonton tidak memikir yang muzik gamelan itu adalah muzik yang kuno atau muzik yang kebelakangan zaman" kata Encik Faezan Ridwan, pembimbing kumpulan itu, yang diundang buat kali pertama untuk membuat persembahan dalam acara tahunan tersebut.
Alunan irama gamelan tersebut mengiringi pertunjukan cahaya The Legend of Ramayana, hasil karya Spectaculaires, sekumpulan artis luar negara.
Lebih menarik lagi persembahan gamelan tersebut diadakan di hadapan pokok banyan yang terpancar gerak lampu berwarna warni.
Acara di kawasan lapang Muzium Negara Singapura itu adalah percuma dan, diadakan sebanyak tiga kali setiap malam sehingga Sabtu (31 Ogos) pada jam 8, 9 dan 10 malam.
PROJECT:DOME - THE LAND ABOVE
Terdapat juga banyak pameran baru dalam Pesta Malam Singapura 2019 - satu daripadanya pemasangan lampu yang indah dan menarik karya Project:Dome.
Pameran seni cahaya The Land Above dipancarkan pada sebuah kubah di kampus Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Para pengunjung boleh menikmati gerakan visual dan alunan bunyi gamelan, seruling yang diproses secara elektronik. Pameran seni cahaya itu berunsurkan motif-motif tradisional Nusantara, dan diberi nafas baru dari segi animasi yang futuristik.
Pereka bunyi bagi pameran itu, Safuan Johari, berbangga dapat sekali lagi berkongsi daya kreatifnya dalam acara itu sebagai salah satu artis elektronik.
"Saya berharap untuk mereka satu karya di atas permukaan yang lebih besar daripada kubah ini untuk Pesta Malam Singapura pada masa hadapan," ujar beliau.
PROJECT:DOME - SOLIS
Pameran seni SOLIS pula merupakan kerjasama kumpulan pereka kreatif, Mesh Minds dan Mischief Makers yang merealisasikan konsep campuran nukleur di matahari, lalu direplikasikan di muka bumi.
"Saya berharap untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang lain bukan semestinya dalam bidang seni atau sains, dan kita ingin menghiburkan dan meraikan kerjasama dengan artis seni dan sains,"kata salah seorang artis projek tersebut,Fadhil Nasser.
Pameran dan persembahan seni cahaya itu boleh dinikmati sehingga Sabtu ini (31 Ogos).
Untuk senarai penuh kunjungi https://www.nightfestival.sg/about
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.