Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inuka si beruang kutub S'pura sudah 27 tahun; dapat kek agar-agar

Beruang kutub itu, yang jika dikira usianya mengikut umur manusia adalah dalam lingkungan 70an tahun, diberikan kek istimewa itu, dengan disaksikan sekitar 400 pengunjung.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Dec 2017 05:20PM Dikemas Kini : 27 Dec 2017 01:11AM

SINGAPURA: Sebuah kek hari jadi yang diperbuat daripada agar-agar dan dihiasi dengan kepala ikan salmon adalah 'hadiah' terbaik buat si beruang kutub di Taman Haiwan Singapura, Inuka.

Inuka menyambut hari lahirnya yang ke-27 hari ini (26 Dis).

Beruang kutub itu, yang jika dikira usianya mengikut umur manusia adalah dalam lingkungan 70an tahun, diberikan kek istimewa itu, dengan disaksikan sekitar 400 pengunjung.

Ini merupakan kali pertama Inuka menerima kek yang diperbuat daripada agar-agar, menggunakan rumpai laut yang biasanya digunakan dalam pencuci mulut di Asia.

Sebelum ini, kek hari lahir Inuka menggunakan ais sebagai asasnya dan pelbagai hiasan di atas kek sambutan hari lahir itu.

Namun tahun ini, kek tersebut dibuat daripada agar-agar supaya mudah digigit oleh Inuka, kata Timbalan CEO yang juga Ketua Pegawai Sains Hayat bagi abatan Pemuliharaan Hidupan Liar Singapura (WRS), Dr Cheng Wen-Haur.

"Bagi kek ulang tahunnya kami perlu menghasilkan sesuatu yang amat istimewa, dengan menimbangkan dietnya sebagai beruang yang sudah tua. Ia dibuat dengan kadar gula rendah dan protein serta lemak yang bermutu tinggi dan juga ikan salmon. Salmon adalah makanan kegemaran Inuka," kata Dr Cheng.

Inuka yang dilahirkan di Singapura sudah melepasi purata jangka hayat 25 tahun bagi beruang kutub di bawah jagaan manusia.

Buat masa ini ia diletakkan di bawah program jagaan haiwan tua, yang membantu menguruskan penyakit artritisnya.

Ini termasuk pemeriksaan kesihatan yang dijalankan setiap minggu, diet khas dan pemantauan serta penilaian yang dilakukan setiap hari bagi meneliti mutu hidup Inuka.

Berat Inuka sekarang adalah 513 kilogram dan tingginya berukuran 2.5 meter dari hidung ke ekor.

Dr Cheng berkata Inuka adalah beruang kutub terakhir yang dijaga di Taman Haiwan Singapura dalam "tempoh yang begitu lama".

"Dasar kami sekarang adalah untuk menumpukan perhatian kepada haiwan-haiwan yang boleh kami wujudkan persekitaran hampir sama dengan sekitaran semula jadi haiwan itu."

"Jadi, untuk membawa seekor lagi beruang kutub kami perlu mewujudkan persekitaran buatan baginya dan jejak karbon untuk melakukan sedemikian di Singapura terlalu tinggi dan ini tidak sejajar dengan mesej pemuliharaan yang mahu kami sebarkan," tambah beliau.

Keputusan untuk tidak membawa lebih banyak beruang kutub ke Singapura pada masa akan datang dibuat sedekad yang lalu menyusuli rundingan dengan jawatankuasa etika kebajikan dan perunding luar Taman Haiwan Singapura.

Sejauh ini keadaan Inuka kekal stabil dan penjaganya juga bersikap optimis.

"Kami sedang memantau mutu hidupnya dan dengan cara ia menikmati kek hari jadinya tadi, nampaknya selera makannya masih kuat dan bersemangat untuk terus hidup," kata Dr Cheng.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan