Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Intervensi awal dan sokongan keluarga perlu untuk cegah pemahaman radikal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Intervensi awal serta sokongan keluarga dan masyarakat adalah penting dalam menangani pengaruh radikal lebih-lebih lagi bagi belia.

Demikian antara sentimen yang disuarakan sebilangan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) berhubung kes yang melibatkan dua individu yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada Isnin (15 Jul).
Dalam satu kenyataan media, Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura meluahkan rasa "sangat prihatin" terhadap kes-kes radikal yang semakin meningkat di Singapura.

"Kami amat bimbang dengan perintah Arahan Sekatan kepada seorang individu dewasa Singapura yang telah diberi amaran pada 2021 tentang ancaman keselamatannya. Walaupun diberi amaran, beliau terus terlibat dalam aktiviti radikal di media sosial, menekankan lagi keperluan mendesak untuk sentiasa berwaspada," kata Presiden Taman Bacaan, Abdul Halim Kader.

Berhubung seorang lagi individu, iaitu belia 14 tahun yang dikenakan RO, Encik Abdul Halim menegaskan bahawa ia adalah satu peringatan bahawa sokongan keluarga yang lebih proaktif, amat diperlukan.

"Ibu bapa dan pengasuh mesti proaktif dalam mencegah penularan ideologi ekstremis. Kami menggesa anda untuk berwaspada dan peka terhadap aktiviti anak-anak anda, terlibat dalam perbualan dan interaksi biasa untuk mengesan tanda-tanda awal menjadi radikal," ujarnya.

Remaja 14 tahun itu difahamkan menjadi radikal selepas dipengaruhi bahan-bahan online ekoran konflik Israel-Hamas.

Justeru, Encik Abdul Halim menggesa masyarakat, khususnya ibu bapa untuk segera mendapatkan bantuan sekiranya mengesyaki anak-anak mereka terdedah kepada ideologi ekstremis.

"Jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan. Rujuk mereka kepada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk intervensi dan bimbingan awal. Tindakan segera anda boleh mengelakkan bahaya seumur hidup dan memastikan keselamatan masyarakat kita," nasihat Encik Abdul Halim.

Beliau berharap masyarakat dapat saling bekerjasama untuk membina masyarakat yang kohesif, bebas daripada pengaruh ekstremisme.

Rakyat Singapura juga tambah Encik Abdul Halim perlu kekal rasional dan tenang serta menolak pandangan ekstremis yang boleh mengancam fabrik sosial.

"Marilah kita bersatu dalam usaha ini dan menjaga keselamatan dan keharmonian negara kita. Ingat, intervensi awal adalah penting. Bersama-sama, kita boleh membina masyarakat yang berdaya tahan dan inklusif yang mementingkan keharmonian kaum dan agama," ujar Encik Abdul Halim.

GOLONGAN BELIA LEBIH MUDAH TERPENGARUH

Dalam satu kenyataan bertulis kepada BERITA Mediacorp, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Nassar Mohd Zain turut melahirkan kebimbangannya dengan usia individu radikal yang semakin muda.

Menurut beliau, kumpulan pelampau sering menyasarkan golongan muda kerana golongan tersebut lebih mudah dipengaruhi dan dieksploitasi.

"Kami juga bimbang tentang kesan psikologi kepada belia jika mereka terdedah kepada bahan radikal di media sosial kerana ia memberikan pandangan dunia yang penuh dengan kebencian dan malapetaka. Mereka perlu belajar bahawa terdapat banyak cara untuk menyelesaikan perbezaan dan pertikaian melalui cara dan penyelesaian yang aman," kata Encik Nassar.

Beliau juga berharap masyarakat dapat menjadi lebih peka tentang baik buruknya wadah media sosial.

Ini kerana luasnya bahan radikal yang tersedia di wadah itu dan mudah mempengaruhi golongan belia.

"Media sosial boleh memburukkan lagi perasaan terasing dan terdedah di kalangan golongan muda. Kumpulan pelampau mengeksploitasi perasaan ini, menawarkan rasa kekitaan dan tujuan," jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan agar ibu bapa dan masyarakat untuk lebih prihatin tentang penggunaan media sosial anak-anak mereka.

Selain itu, golongan belia juga boleh melibatkan diri dengan lebih banyak kegiatan fizikal dan menyumbang secara berfaedah kepada masyarakat.

"Kami ingin menggalakkan keluarga dan belia untuk lebih terlibat dengan mengambil bahagian dalam aktiviti pembangunan belia yang positif atau kerja-kerja sukarelawan. Organisasi sukarelawan seperti 4PM mempunyai banyak program dan aktiviti yang menarik untuk para belia menyertai secara tetap," tambahnya.

BERTINDAK SECARA HORMAT, SAH DAN AMAN DI TENGAH-TENGAH KONFLIK

Pandangan serupa turut dikongsi Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Dalam catatan di Facebook, PPIS menyatakan kes-kes sedemikian adalah peringatan tegas bahawa radikalisasi boleh menjejas sesiapa sahaja.

"Walaupun kita meratapi kekejaman di Gaza, PPIS percaya adalah penting bagi kita untuk meluahkan sokongan dan empati secara hormat, sah dan aman," dalam catatannya pada Isnin (15 Jul).

Ia juga menekankan: "PPIS kekal teguh dalam komitmen kami untuk menyokong keluarga, khususnya wanita dan belia, melalui pelbagai perkhidmatan dan program, termasuk kaunseling. Intervensi dan sokongan awal adalah penting dan keluarga memainkan peranan penting semasa masa sukar ini."

Menurut laporan awal, kedua-dua individu yang menjadi radikal itu juga memiliki pendirian ekstremis masing-masing tentang konflik di Timur Tengah sekarang.

Sehubungan dengan ini, PPIS juga menyeru masyarakat untuk saling menghulurkan sokongan dan dapatkan bantuan yang diperlukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan