Skip to main content

Singapura

International Service Apartments didakwa; tawar penginapan singkat menyalahi undang-undang SG

Anggaran Waktu Membaca:
International Service Apartments didakwa; tawar penginapan singkat menyalahi undang-undang SG

(Gambar: ISA)

Diterbitkan : 25 Mar 2025 09:47PM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 09:48PM
SINGAPURA: Sebuah syarikat yang menawarkan apartmen servis untuk disewa telah didakwa pada Selasa (25 Mac), bersama timbalan ketua pegawai eksekutif dan dua pengarahnya, kerana dipercayai menyediakan penginapan jangka pendek yang tidak sah di Singapura.

International Service Apartments (ISA), yang mengendalikan dua hartanah secara langsung di Singapura dan satu lagi di Shanghai, berdepan sembilan tuduhan berhubung pembangunan hartanah kediaman privet tanpa kebenaran.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Piao Xianfen, warga China berusia 38 tahun, dikenakan lapan tuduhan atas kesalahan yang sama.

Dua pengarah ISA - Peter Liu Tak Ming dari Hong Kong dan warga Malaysia Lee Ming Fong - masing-masing menghadapi 10 tuduhan atas kesalahan yang sama. Kedua-duanya adalah Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Adalah menyalahi undang-undang untuk menyewakan hartanah privet selama kurang daripada tiga bulan.

"Ini bagi mengelakkan kerap bertukar ganti penghuni sementara, yang mengubah ciri kediaman sesebuah hartanah dan boleh memberi kesan negatif kepada penduduk berdekatan," kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media pada Selasa (25 Mac).

Menurut laman web ISA, syarikat itu telah menyediakan khidmat korporat dan apartmen untuk disewa sejak 1992, dengan lokasi dari Tanjong Katong hingga Raeburn Park di kawasan Tanjong Pagar. Ia juga menyewakan unit kondominium seperti Clavon di Clementi dan 26 Newton berhampiran Orchard Road.

Menurut dokumen mahkamah, kesalahan-kesalahan yang dilakukan melibatkan hartanah yang terletak di West Coast Walk, Stirling Road, Thomson Road, Commonwealth Avenue, Alexandra Road dan Dover Rise.

"Syarikat itu dan tiga individu dipercayai menyediakan penginapan jangka pendek di pelbagai hartanah privet, yang melanggar Akta Perancangan dan merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta tersebut," kata URA.

Agensi itu menambah bahawa ia memandang serius terhadap penggunaan haram hartanah privet untuk menyediakan penginapan jangka pendek.

"URA akan terus menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan sedemikian. Jika didapati bersalah di bawah Akta Perancangan, pesalah boleh didenda sehingga S$200,000 bagi setiap tuduhan," tambahnya.

Semakan oleh Mediacorp menunjukkan bahawa laman web ISA menyatakan bahawa apartmen-apartmennya memerlukan tempoh tempahan minimum selama tiga bulan.

Pada Julai tahun lalu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan URA bersama-sama memberitahu Mediacorp bahawa seramai 71 pesalah telah didenda sejak 2019 kerana menyediakan penginapan jangka pendek yang tidak sah di Singapura.

Daripada jumlah itu, 64 didenda kerana menyediakan penginapan sedemikian di hartanah privet.

Lagi 15 orang telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa kerana menyediakan penginapan singkat di hartanah privet.

Ini berlaku selepas Mediacorp mengesan lebih daripada 15 penyenaraian Airbnb di Singapura yang menawarkan penginapan jangka pendek sedemikian – ada yang selama dua atau tiga malam.

Orang ramai boleh melaporkan kes sedemikian dengan memberikan maklum balas di laman web URA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita