Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

INTAI 2019: Ini yang boleh anda jangkakan... (Bahagian 1)

Dalam laporan Dua Bahagian ini, BERITAmediacorp menyenaraikan 20 perkara yang boleh anda jangkakan akan berlaku pada 2019. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tinggal dua hari sahaja lagi sebelum kita mengucapkan selamat tinggal kepada 2018.

Dalam laporan Dua Bahagian ini, BERITAmediacorp menyenaraikan 20 perkara yang boleh anda jangkakan akan berlaku pada 2019. Ini bahagian pertama meliputi 10 perkara atau perubahan yang menjelma tahun depan:

1. MUIS DIPIMPIN CE BARU

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bakal diterajui pemimpin baru, Encik Esa Masood, mulai 1 Januari.

Beliau yang sekarang menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, mengambil alih jawatan daripada CE sekarang, Encik Abdul Razak Hassan Maricar.

Encik Esa Han Hsien Masood. (Gambar: BERITAMediacorp)

2. PERUBAHAN PADA SEKTOR PENDIDIKAN

Sekolah-sekolah rendah dan menengah akan mengurangkan jumlah peperiksaan dan penilaian yang perlu diduduki para pelajar.

Ini sebagai sebahagian daripada usaha nasional untuk mengurangkan penekanan terhadap keputusan akademik.

Berikut perubahan yang boleh anda jangkakan:

a) Semua penilaian dan peperiksaan yang diberi timbangan bagi para pelajar Darjah 1 dan 2 akan dihapuskan.

b) Pelajar Menengah 1 juga tidak lagi perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun.

c) Tidak lebih dari satu penilaian yang diberi timbangan bagi setiap subjek dalam setiap penggal sekolah bagi semua peringkat dari Darjah 3.

d) Buku laporan juga tidak lagi akan menunjukkan petunjuk akademik tertentu seperti kedudukan pelajar dalam kelas dan tingkatan.

(Gambar fail: MOE)

(Gambar fail: MOE)

3. MAJIKAN TIDAK BOLEH LAGI SIMPAN DUIT AMAH

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memperkenalkan syarat-syarat Permit Pekerjaan yang tidak membenarkan majikan menyimpan sebarang duit pembantu rumah masing-masing, termasuk gaji mereka yang sudah dibayar.

Syarat-syarat tersebut juga memerlukan para majikan untuk membayar gaji pembantu rumah asing masing-masing penuh dan tepat pada masanya.

Gambar fail pembantu rumah di Singapura. (Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

4. MAJIKAN PERLU BAYAR LEVI AMAH LEBIH TINGGI

Para majikan yang tidak layak bagi konsesi levi perlu membayar S$300 setiap bulan untuk pembantu rumah asing mulai April 2019. Naik 13 peratus berbanding levi bulanan sekarang.

Levi bulanan bagi pembantu rumah kedua juga akan dinaikkan kepada S$450, naik 70 peratus berbanding S$265 yang dikenakan buat masa ini.

Pembantu rumah Indonesia mempelajari cara membuat kerja rumah. (Gambar fail: AFP/ROMEO GACAD)

(Gambar fail: AFP/ROMEO GACAD)

5. PERTUBUHAN DILARANG AMBIL NOMBOR NRIC, BUAT SALINAN

Lindungi nombor kad pengenalan anda.

Mulai 1 September tahun depan, pertubuhan-pertubuhan tidak dibenarkan mengumpul, menggunakan, mendedahkan nombor NRIC, tidak dibenarkan membuat salinan atau menyimpan kad NRIC pelanggan.

Contoh salinan NRIC. (Gambar: Jeremy Long)

6. 5 CUTI HUJUNG MINGGU PANJANG

Bersiap sedia untuk rancang percutian anda pada tahun depan.

Ini kerana terdapat lima 'cuti panjang' hujung minggu sempena cuti umum (dengan cuti yang jatuh pada Jumaat atau Isnin) pada tahun 2019.

Singapore Flyer. (Gambar fail: Siti Nur Mas Lina)

7. PELANCARAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KEDATANGAN RAFFLES

Sambutannya merupakan satu peristiwa penting bagi Singapura dan membolehkan rakyat mencerminkan perjalanan negara – bagaimana ia dibentuk, sejauh mana kemajuan dicapai, serta bagaimana rakyat dapat terus maju bersama.

Beberapa siri kegiatan bagi merenung sejarah negara yang lebih panjang akan diadakan termasuk memanfaatkan acara-acara sedia ada - seperti Perbarisan Hari Kebangsaan dan Pertunjukan Cahaya di Marina Bay.

Pertunjukan bunga api semasa Perbarisan Hari Kebangsaan 2015 di Padang.

8. DAFTAR E-SKUTER ANDA MULAI 2 JAN

Pendaftaran boleh dilakukan menerusi laman LTA di www.onemotoring.com.sg/escooter atau di mana-mana pejabat Singapore Post sehingga 30 Jun.

Jika anda daftarkan sebelum 31 Mac, anda tidak dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak S$20.

Gambar fail: TODAY

9. SWENSEN'S ION ORCHARD 'TUTUP KEDAI'

Berita sedih bagi penggemar bufet aiskrim restoran Swensen's.

Pihak Swensen's menyatakan tempoh pajakan mereka di Ion Orchard sudah tamat dan pihaknya "tiada rancangan untuk memperbaharuinya".

Cawangan Swensen's di ION Orchard akan ditutup selama-lamanya bermula tahun depan. (Gambar: Lovely Mera Rabe/Facebook)

(Gambar: Lovely Mera Rabe/Facebook)

10. JEWEL LAPANGAN TERBANG CHANGI DIBUKA

Bagi yang gemar bersiar-siar di Lapangan Terbang Changi, ini satu lagi tempat baru untuk anda nikmati.

Kompleks bersepadu 10 tingkat yang diberi nama Jewel itu menawarkan daya tarikan bertaraf dunia dengan lebih 280 kedai serta tempat makan. Pawagam pun ada tau!

Tempat makan di Jewel. (Gambar: Lapangan Terbang Changi Jewel)

(Gambar: Lapangan Terbang Changi Jewel)

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan