Insurans bolehkan bakal jemaah haji S'pura dapat sekitar 40% biaya kembali jika tak dapat berangkat kerana COVID

Gambar: Rosli A Razak
BERITAmediacorp: Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) memeterai satu perjanjian dengan penyedia khidmat insurans ST&T International hari ini (28 Apr).
Ini bagi memastikan bakal jemaah haji Singapura tahun ini mendapatkan perlindungan insurans.
Disebabkan ancaman COVID-19 masih belum berakhir, kerajaan Arab Saudi masih melaksanakan langkah-langkah keselamatan untuk melindungi para jemaah haji.
Antara syarat bagi ibadah haji tahun ini adalah para jemaah mesti diuji negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Saudi.
Di bawah perjanjian itu juga, kesemua 407 jemaah haji Singapura kini boleh memanfaatkan khidmat Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA) dari ST&T International dan khidmat perubatan lain.
Pakej itu antara lain menyediakan pampasan bagi kos rawatan untuk jemaah yang sakit dan mendapatkan rawatan kesihatan 24 jam di tiga pusat perubatan swasta bertaraf antarabangsa iaitu pusat Perubatan Albayt dan Hospital Nasional Saudi di Makkah, dan Hospital Nasional Al Hayat di Madinah.
Bagi musim haji tahun ini, tarikh akhir penerbangan masuk ke Arab Saudi adalah pada 3 Julai.
Tiada lagi penerbangan alternatif untuk semua jemaah haji antarabangsa dibenarkan selepas tarikh itu.
Jika jemaah tidak dapat berlepas ke Saudi sebelum tarikh tersebut kerana ujian PCR mereka positif, jemaah dengan insurans syarikat ST&T boleh memohon mendapatkan pampasan insurans.
"Pada tahun ini perlindungan insurans meliputi juga COVID-19 dari segi rawatan pesakit luar dan rawatan di hospital dan pembatalan untuk berangkat. Sekiranya jemaah haji kita mendapat hasil ujian PCR positif 72 jam sebelum tarikh berangkat mereka, mereka perlu dapatkan hasil ujian yang negatif.
"Sekiranya mereka dapat hasil ujian yang positif, ST&T dan penaja jamin (underwriter) kami akan kembalikan bayaran pembatalan berangkat sebanyak $7,500," jelas Pengarah ST&T International Dr Ammar Angullia.
Ini dianggarkan sekitar 40 peratus kos pakej haji tahun ini.
Menurut Presiden AMTAS, Ustaz TM Fouzy, kos menunaikan haji pada tahun dianggarkan di antara S$17,000 dengan S$20,000, bergantung pada tempoh pakej haji yang dipilih jemaah.
"Sebelum ini kita tidak begitu bimbang tentang jemaah tidak dapat berangkat kerana tidak ada masalah dan tidak banyak syarat yang diletakkan oleh pihak Arab Saudi. Apa yang kita membimbangkan adalah ketidaktentuan keputusan ujian PCR pada saat-saat akhir sebelum jemaah dijadualkan berangkat," kata beliau.
Oleh itu, perlindungan insurans tambahan itu amat diperlukan sekarang.
Dengan ciri perlindungan tambahan ST&T International itu, tambah Ustaz TM Fouzy, jemaah tidak akan menanggung kerugian kesemua wang deposit mereka jika tidak dapat ke tanah suci kerana positif COVID.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.