Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insurans bantu pekerja bebas yang cuti sakit berpanjangan dimulakan tahun depan

Mereka yang bekerja sendiri (SEP) atau lebih dikenali sebagai pekerja bebas, tidak lama lagi boleh membeli insurans untuk melindungi diri mereka daripada kehilangan pendapatan disebabkan cuti sakit yang berpanjangan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2018 04:20PM Dikemas Kini : 05 Mar 2018 11:10PM

SINGAPURA: Mereka yang bekerja sendiri (SEP) atau lebih dikenali sebagai pekerja bebas, tidak lama lagi boleh membeli insurans untuk melindungi diri mereka daripada kehilangan pendapatan disebabkan cuti sakit yang berpanjangan.

Demikian diumumkan oleh Menteri Kedua Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen hari ini (5 Mac).

Produk insuran sedemikian adalah salah satu daripada tujuh cadangan yang dibuat oleh kumpulan kerja perikatan tiga pihak. Pemerintah sudah menerima saranan-saranan mereka.

Buat masa ini, para pekerja bebas itu - termasuk pemandu teksi, pemandu kereta privet dan bas - boleh membeli perlindungan tambahan (rider) bagi insuran privet mereka untuk mengurangkan gangguan pendapatan.

"Sekalipun begitu, terdapat kekurangan satu-satu produk (insurans) yang dimampui bagi cuti sakit berpanjangan. Ini bermakna SEP tiada pilihan lain jika mereka tidak mahu membeli produk insurans utama," kata beliau.

"Saya gembira bahawa NTUC Income berminat untuk membangunkan produk insurans bagi cuti sakit yang berpanjangan, yang akan memenuhi saranan-saranan kumpulan kerja. Syarikat-syarikat insurans lain juga boleh tampil menawarkan insurans seumpama itu," kata beliau.

Sebagai permulaan, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudah mengenal pasti dua kumpulan pekerjaan yang terdiri daripada sekitar 30 peratus daripada semua SEP untuk menawarkan insurans-insuran itu. Salah satu kumpulan adalah pemandu bas dan jurulatih yang sebahagian besarnya menawarkan khidmat mereka di sekolah-sekolah.

Untuk mencapainya, Kementerian Pendidikan (MOE) sudah bersetuju untuk membantu mewujudkan norma baru dengan hanya mengambil pemandu bas dan jurulatih yang bekerja sendiri serta mempunyai perlindungan insurans sedemikian, kata beliau.

Para pemandu bas dan jurulatih tersebut juga harus merangkumkan kos insurans mereka ke dalam kos kerja atau projek yang ingin dibida, tambah beliau. Para pemandu teksi dan kereta privet pula adalah kumpulan kedua.

Menurut Cik Teo, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) serta Persatuan Teksi Kebangsaan dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Kebangsaan tentang bagaimana mereka boleh memastikan para pemandu teksi dan kereta privet yang aktif mempunyai perlindungan insurans bagi cuti sakit yang berlarutan.

SUMBANG APABILA PEROLEH PENDAPATAN - BELUM DIWAJIBKAN SEKARANG

Bagi memastikan jagaan kesihatan dan persaraan mencukupi, model "sumbang apabila memperolehi pendapatan" (CAYE) disarankan oleh kumpulan kerja tersebut sebagai satu mekanisme yang akan memotong dan memindahkan sejumlah wang daripada yuran yang diperolehi hasil khidmat SEP ke dalam akaun Medisave mereka.

Cik Teo berkata Pemerintah bersetuju untuk meneliti bagaimana model sedemikian boleh dilaksanakan dan akan menerajui pelaksanaan CAYE.

"Entiti-Entiti Pemerolehan Pemerintah menyasarkan untuk mula merintis satu projek menjelang tahun 2020. Ia akan membolehkan kami untuk meneliti isu-isu berkaitan pelaksanaan CAYE dan membantu melicinkan pelaksanaannya ke dalam sektor privet," tambah Cik Teo.

Buat masa ini, SEP diwajibkan menyumbangkan kepada akaun Medisave mereka setiap tahun dan boleh membuat sumbangan CPF secara sukarela untuk menabung bagi hari tua. Sekitar satu daripada empat SEP tidak menyumbang ke dalam akaun Mediasave, kata Cik Teo.

BANTUAN TAMBAHAN BAGI SEP PERTINGKAT SUASANA KERJA

Untuk menangani pertikaian berkaitan pembayaran, yang menjadi cabaran biasa bagi para SEP, MOM sudah melancarkan Piawai Perikatan Tiga Pihak bagi Khidmat SEP.

Para pembeli khidmat yang mahu memenuhi piawai perikatan tiga pihak itu perlu berbincang dan bersetuju dengan syarat-syarat SEP berkaitan khidmat yang akan diberikan, tempoh projek dan pembayaran berdasarkan kerja serta tempoh pembayaran dan ia perlu dinyatakan dalam bentuk tulisan.

SEP akan dapat mengenal pasti dan memberikan khidmat kepada pembeli progresif yang mahu memenuhi piawai tersebut, kata Cik Teo. Sekiranya timbul pertikaian, agensi-agensi sektor boleh terus menjadi perantara untuk meleraikan isu antara penyedia dan pembeli khidmat.

Contohnya, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjadi orang tengah dalam pertikaian antara para pengendali dengan pemandu teksi. Bagi SEP lain, Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian akan meluaskan khidmat perantara sukarelanya kepada semua SEP mulai hari ini.

Untuk menjadikan kerjaya mereka lebih berdaya mampan, Cik Teo berkata Pemerintah dan rakan-rakan perikatan tiga pihak berminat untuk bekerjasama dengan lebih banyak persatuan SEP untuk membangunkan rangka kerja kecekapan, seperti latihan dan pentauliahan.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan