Institut pengajian tinggi ada 'proses dan protokol' untuk tangani campur tangan luar, kata Shanmugam
Institut pengajian tinggi (IHL) mempunyai proses dan protokol apabila berurusan dengan campur tangan luar, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (6 Jul).
Universiti Town (UTown) di NUS. (Gambar fail: Alif Amsyar)
SINGAPURA: Institut pengajian tinggi (IHL) mempunyai proses dan protokol apabila berurusan dengan campur tangan luar, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (6 Jul).
"IHL kami mempunyai proses dan protokol untuk memastikan pengawasan terhadap kerjasama akademik, baik dalam mahupun luar negara, serta mengambil langkah-langkah untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan kakitangan mereka tentang risiko campur tangan asing," katanya.
Encik Shanmugam memberi jawapan bertulis sebagai respons kepada soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Gerald Giam (WP-Aljunied). Beliau bertanya tentang kes operasi pengaruh dan rekrut oleh perisikan asing baru-baru ini melibatkan individu yang sebelum ini menuntut atau bekerja di institusi akademik tempatan.
KES DICKSON YEO
Soalan itu timbul selepas warga Singapura Dickson Yeo, yang menjadi pengintip bagi China terhadap Amerika Syarikat (AS), ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 29 Januari kerana bertindak sebagai ejen risik berbayar bagi sebuah "negara asing".
Menurut dokumen mahkamah AS, Teo direkrut oleh ejen perisikan China ketika mendapatkan PhD di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2015.
Yeo menjalankan kegiatan perisikan terhadap Singapura dari 2016 hingga dia diberkas di AS pada 2019, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD). Dia ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dan menyediakan laporan mengenai isu-isu berkepentingan bagi pengendali asingnya, termasuk maklumat berkaitan Singapura.
Mantan diplomat Singapura, Bilahari Kausikan, berkata penyelia PhD Yeo di LKYSPP ialah Huang Jing. Profesor itu dikenal pasti pada tahun 2017 sebagai "perisik berpengaruh untuk negara asing" oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA).
LKYSPP memberitahu Mediacorp bahawa selepas Yeo ditahan, ia memperkukuhkan "prosedur pengawasan dan kesedaran risiko" berkaitan dengan pendidikan serta kajiannya.
Berikutan berita tentang penahanan Yeo, Mediacorp mendapatkan ulasan daripada lima universiti autonomi Singapura yang lain tentang langkah-langkah baru serta sedia ada terhadap campur tangan asing.
Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), Institut Teknologi Singapura (SIT) serta Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) tidak memberi respons kepada pertanyaan tersebut.
Encik Shanmugam berkata pada Selasa bahawa bagi tujuan keselamatan negara, Pemerintah tidak menguar-uarkan tindakan yang diambil dalam menangani negara-negara asing yang terlibat dalam operasi pengaruh dan percubaan merekrut di Singapura.
OPERASI CAMPUR TANGAN LUAR SEMAKIN CANGGIH
Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa operasi campur tangan luar menjadi kian canggih dan selindung dengan baik.
"Kehadiran Internet telah meningkatkan potensi kempen maklumat bermusuhan online tetapi percubaan tersembunyi untuk menjalankan kawalan atau pengaruh ke atas pertubuhan serta individu juga sama berbahaya," kata beliau.
"Sedang ancaman berubah, kita harus terus meningkatkan kemampuan kita untuk mengesan dan menyekat kegiatan seumpama itu."
Ini termasuk memperkenalkan undang-undang baru untuk mencegah dan mengatasi campur tangan asing dalam politik dalam negeri Singapura, kata Encik Shanmugam. Beliau menambah MHA sedang mengkaji pendekatan negara-negara lain dan akan "meneruskan usulan itu" apabila siap.
Beliau berkata "dasar dan langkah" sedia ada untuk mengurangkan risiko campur tangan asing termasuk undang-undang yang mentadbir sumbangan dana politik, penyiaran dan masyarakat.
Beliau menambah pihak berkuasa juga menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi pegawai sektor awam yang mempunyai akses kepada maklumat sulit pemerintah.
Sungguhpun demikan, Encik Shanmugam berkata "benteng pertahanan utama" terhadap campur tangan asing mestilah rakyat yang bersatu padu bahawa urusan domestik Singapura hanya ditentukan sendiri oleh rakyat negara ini dan itu sahaja sudah cukup arif untuk mengenal pasti percubaan manipulasi.
"Melalui usaha pendampingan agensi keselamatan kami ke kawasan dalam perkhidmatan awam dan selebihnya, Pemerintah akan terus meningkatkan kesedaran mengenai risiko sebenar dan modus operandi pelaku asing, sama ada dalam bentuk operasi pengaruh online atau luar talian yang bertujuan untuk membentuk pendapat umum atau penggubalan dasar atau operasi pengambilan perisik asing," tambahnya.
"Pertubuhan dan individu yang lebih mudah terkesan oleh campur tangan luar, sama ada berdasarkan pelibatan mereka dalam kegiatan atau isu-isu tertentu, perlu lebih sedar akan risiko ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.