Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Institut Karbon Biru Antarabangsa dibuka di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah pusat antarabangsa yang akan membantu melindungi dan memulihkan ekosistem marin di kawasan pantai Asia Tenggara akan ditubuhkan di Singapura.

Institut Karbon Biru Antarabangsa, yang ditubuhkan oleh Amazon dan Conservation International, dilancarkan pada Isnin (14 Nov) semasa sidang puncak COP27 di Mesir.

Karbon biru adalah karbon yang diserap ekosistem pantai dan marin, seperti di hutan paya bakau.

"Asia Tenggara, dengan kawasan hutan bakau dan ekosistem pantai yang luas, mempunyai potensi besar untuk inisiatif karbon biru yang juga akan menyokong perlindungan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan mata pencarian serta warisan masyarakat tempatan," kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di pelancaran institut tersebut.

Tambah Cik Fu institut tersebut akan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi serantau untuk membangunkan kemampuan yang diperlukan untuk mempercepat dan meningkatkan usaha melindungi serta memulihkan ekosistem marin pantai.

Lebih satu pertiga hutan bakau di dunia terletak di Asia Tenggara, kata Amazon dalam satu kenyataan media, sambil menambah bahawa kehilangan terbesar hutan bakau juga berlaku di rantau ini.

Lantas, Amazon menyatakan institut tersebut akan dijadikan hab pengetahuan untuk membangunkan keupayaan, kepakaran, piawaian serta kaedah bagi melaksanakan pelbagai projek.

Ia juga akan bekerjasama dengan pemerintah-pemerintah di Asia Tenggara dan negara-negara lain untuk menyertakan karbon biru ke dalam dasar-dasar menangani perubahan iklim.

Amazon akan menyediakan geran sehingga AS$3 juta (S$4.1 juta) untuk menubuhkan dan membiayai operasi institut itu selama tempoh tiga tahun pertama.

"Singapura alu-alukan kerjasama dengan Conservation International dalam inisiatif penting ini, yang dapat dilakukan dengan sokongan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura, Amazon dan rakan kongsi lain," kata Cik Fu.
Sumber : CNA/ZM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan