Skip to main content

Singapura

Institusi jagaan kesihatan SG perluas peranan relawan belia dengan latihan paraklinikal

Anggaran Waktu Membaca:
Institusi jagaan kesihatan SG perluas peranan relawan belia dengan latihan paraklinikal
Institusi jagaan kesihatan di Singapura sedang meningkatkan latihan untuk sukarelawan belia bagi mengambil peranan paraklinikal. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 20 Feb 2026 02:56PM Dikemas Kini : 20 Feb 2026 03:01PM
SINGAPURA: Institusi-institusi jagaan kesihatan di Singapura sedang meningkatkan latihan bagi sukarelawan belia untuk menggalas peranan paraklinikal, dalam peralihan ke arah mempersiapkan mereka bagi tugas berasaskan kemahiran yang menyokong jagaan barisan hadapan.

Langkah ini mencerminkan usaha melengkapi sukarelawan dengan kecekapan yang melangkaui peranan sokongan tradisional, sekali gus membolehkan mereka menyumbang dengan lebih bermakna dalam persekitaran jagaan kesihatan.

Para pemerhati berkata pendekatan ini juga boleh membantu memperluaskan bekalan bakat bagi karyawan jagaan kesihatan pada masa depan.

RINGANKAN BEBAN KERJA

Di Hospis Assisi, sukarelawan belia Chloe Sin, yang menyokong pesakit pada peringkat akhir hayat mereka, berkata tugasnya didorong oleh sebab yang amat peribadi.

“Apabila bapa saya disahkan menghidap barah ketika saya berusia 11 tahun, saya terdedah sejak kecil kepada betapa pentingnya hubungan, sifat empati dan sokongan emosi apabila berlaku krisis,” kata remaja berusia 19 tahun itu.

“Sebab itu saya benar-benar memilih untuk berkhidmat di hospis kerana pengalaman tersebut mendekatkan saya dengan jagaan paliatif.”

Jumlah sukarelawan di hospis yang terletak di Thomson Road itu meningkat secara berterusan kepada sekitar 520 orang, dengan golongan belia membentuk 37 peratus daripada keseluruhan sukarelawan.

Sejak beberapa tahun lalu, hospis tersebut telah memperluaskan latihan untuk sukarelawan bagi merangkumi kemahiran klinikal khusus bagi sesetengah peranan - contohnya latihan disfagia bagi sukarelawan dalam program berkaitan makanan seperti 'Food Buddy' dan 'Treat Trolley'.

Menurut pihak hospis, langkah ini membantu meringankan beban kerja kakitangan.

“Sukarelawan kami dilatih untuk menyokong jururawat dalam banyak aspek penyediaan khidmat jagaan kepada pesakit,” kata Lee Tien Sin, pengurus kanan pengurusan sukarelawan di Hospis Assisi.

“Ia termasuk perkara seperti menukar lampin, membersihkan pesakit untuk memastikan mereka selesa dan bersih, serta menemani mereka tanpa tergesa-gesa, iaitu sesuatu yang amat dihargai pesakit.”

KEKALKAN BAKAT SUKARELAWAN

Pusat bagi Inovasi Jagaan Kesihatan sedang mengukuhkan momentum ini bagi mewujudkan saluran bakat karyawan jagaan kesihatan masa depan melalui program berasaskan kemahiran dengan laluan pembelajaran berstruktur.

Pengarah Pusat Pengaktifan Kesihatannya, Celine Ong, berkata: “Kami kini melihat bagaimana penjagaan akan direka semula dan bagaimana peranan akan dibangunkan semula untuk tenaga kerja profesional serta tenaga kerja tidak formal.”

Ini termasuk inisiatif paraklinikal seperti sukarelawan membantu dalam operasi farmasi.

Program tersebut juga bertujuan untuk melengkapi para peserta dengan kemahiran seperti penjagaan, yang boleh diaplikasikan dalam masyarakat masing-masing.

Namun, sesetengah hospital berdepan cabaran mengekalkan tenaga sukarelawan belia apabila mereka melalui peringkat kehidupan berbeza dan perubahan keutamaan.

Hospital-hospital juga memberi perhatian kepada sukarelawan warga emas yang lebih bersedia meluangkan masa pada hari biasa dan boleh berkomunikasi dengan pesakit dalam pelbagai bahasa dialek.

Tan Hwee Ping, ketua hubungan masyarakat di Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong, berkata salah satu pertimbangan utama apabila bekerjasama dengan sukarelawan belia ialah komitmen jangka panjang.

Beliau menjelaskan bahawa sukarelawan belia perlu mengimbangi kerja sekolah, kegiatan kokurikulum dan tanggungjawab peribadi, sekali gus menyukarkan pelibatan berterusan.

Memandangkan mereka biasanya bersekolah pada hari biasa - iaitu waktu pihak hospital paling memerlukan sokongan - menarik mereka menyertai program hari biasa adalah sesuatu yang mencabar.

“Kami ada program hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, jadi sukarelawan yang tidak dapat hadir pada hari biasa masih boleh menyumbang,” katanya.

“Semasa cuti penggal, mereka boleh datang dengan lebih kerap.

"Ketika musim peperiksaan atau apabila tugasan perlu dihantar, mereka akan berehat seketika. Itulah antara langkah fleksibel yang perlu kami laksanakan jika mahu mengekalkan tenaga sukarelawan," tambahnya.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita