Skip to main content

Singapura

Inspirasi keluarga dorong 3 pegawai muda SAF capai impian di OCS

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 Jun 2026 07:34PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 08:47PM
SINGAPURA: Tanggungjawab sebagai seorang abang bukan sesuatu yang mudah dipikul.

Bagi Leftenan Muda (2LT) Muhammad Izzat Hadi Mohamed Imran, beliau sentiasa sedar bahawa setiap tindakan dan keputusan yang dibuat menjadi perhatian dua adik lelakinya.

Kesedaran itu menjadi antara pendorong utama beliau untuk menyertai Sekolah Pegawai Kadet (OCS), dengan harapan dapat menjadi contoh yang baik kepada kedua-dua adiknya.

Menurut 2LT Izzat, 21 tahun, pengalaman sepanjang menjalani latihan bukan sahaja membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin, malah mengajarnya erti ketabahan, disiplin dan tanggungjawab.

"Saya berharap dengan apa yang saya lalui selama ini saya dapat memberi inspirasi kepada kedua orang adik lelaki saya. Yang penting saya harap mereka menjadi pemimpin juga yang bermanfaat kepada orang lain dan masyarakat," tambahnya.

2LT Izzat merupakan antara 398 bekas Pegawai Kadet (OCT) yang telah tamat kursus latihan selama 38 minggu.

Mereka merupakan para pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).

Kumpulan pegawai kadet itu menerima pangkat baharu sebagai Leftenan Muda di satu majlis perasmian yang diadakan di Institut Ketenteraan SAFTI pada Sabtu (13 Jun).
Related article image
Leftenan Muda (2LT) Muhammad Izzat Hadi Mohamed Imran, bersama keluarganya semasa majlis perasmian yang diadakan di Institut Ketenteraan SAFTI. (Gambar: Facebook/PIONEER)
HUBUNGAN ERAT BERSAMA RAKAN SEPERJUANGAN MENJADI PEMBAKAR SEMANGAT

2LT Izzat kini dikerahkan sebagai Komander Platun di Skuadron Pertahanan Tuas.

Selepas menyertai OCS pada September tahun lalu, 2LT Izzat terpilih untuk menyertai Sayap Midshipman bagi menjalani latihan sebagai seorang pegawai tentera laut bersama Tentera Laut Republik Singapura (RSN).

Kemuncak latihan 2LT Izzat apabila menyertai Penugasan Latihan Laut Midshipman (MSTD) selama sebulan ke Busan, Korea Selatan, dan Sattahip, Thailand.

Para pegawai latihan waktu itu menaiki kapal pendaratan kereta kebal (Landing Ship Tank, LST) milik RSN.

Di sebalik cabaran itu, hubungan erat yang terjalin bersama rakan-rakan seperjuangannya menjadi sumber kekuatan buatnya untuk terus bertahan.

"Bagi saya, pengalaman yang paling bermakna ialah semangat setiakawan. Ini kerana kami tinggal dan berlatih bersama setiap hari yang membuat kami semakin rapat. Saya rasa bahawa mereka bukan kawan sahaja, tetapi lama kelamaan mereka menjadi keluarga saya di kapal," kongsinya.

Bagi Izzat, perjalanan semasa di OCS selama 38 minggu itu bukan sahaja membolehkannya merealisasikan impiannya, malah membentuk keyakinan dan ketabahan dalam dirinya.

Kini, dia bakal bertugas sebagai Komander Platun di Skuadron Pertahanan Tuas, yang bertanggungjawab melindungi Pangkalan Tentera Laut Tuas serta aset-asetnya daripada sebarang ancaman.
Related article image
Shaun Yap (berkaca mata) dan Shane Yap bersama ibu bapa mereka. (Gambar: Shane Yap, Shaun Yap)
PASANGAN KEMBAR IKUT JEJAK LANGKAH BAPA

Bagi pasangan kembar bekas Pegawai Kadet Shane Yap dan Shaun Yap, perjalanan mereka bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai anggota Perkhidmatan Negara, tetapi juga impian untuk meneruskan legasi keluarga.

Bapa mereka yang merupakan seorang pegawai Pasukan Pengawal (Guardsman), menjadi sumber inspirasi utama mereka untuk menyertai OCS.

"Bapa kami tidak pernah meletakkan harapan atau tekanan supaya kami menyertai OCS atau menjadi pegawai Pasukan Pengawal. Kami hanya bernasib baik kerana akhirnya berada di laluan yang sama," kata 2LT Shane.

Bagi 2LT Shane, antara detik yang paling memberi kesan sepanjang perjalanannya adalah apabila seorang pegawai kanan yang pernah mengenali bapanya datang menemuinya.

"Seorang komander kanan datang berjumpa kami dan memberitahu bahawa bapa kami merupakan sumber inspirasi dan teladannya. Mendengar perkara itu daripada seseorang daripada generasi yang berbeza benar-benar memberi kesan kepada saya. Ia membuatkan saya lebih menghargai legasi yang telah ditinggalkan oleh bapa saya," kata 2LT Shane.

Meskipun kedua-dua adik beradik itu tidak pernah ditempatkan dalam platun atau seksyen yang sama, kesedaran bahawa mereka melalui cabaran yang sama memberi kelegaan.

"Mempunyai seseorang yang anda boleh percaya, yang anda kenal, yang menyokong anda seratus peratus sangat penting," kongsi 2LT Shaun.

Mereka berharap dapat mencontohi nilai kepimpinan dan dedikasi yang dipamerkan oleh bapa mereka, serta menyumbang kembali kepada negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita