Skip to main content

Singapura

Inspektor stesen polis dijel cabul, lakukan gangguan seksual terhadap pegawai wanita

Anggaran Waktu Membaca:
Inspektor stesen polis dijel cabul, lakukan gangguan seksual terhadap pegawai wanita

Gambar fail.

Diterbitkan : 15 May 2023 02:20PM
SINGAPURA: Seorang inspektor di sebuah balai polis yang melakukan gangguan seksual dan mencabul kehormatan dua pegawai wanita selama dua tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada Isnin (15 Mei).

Dia disiasat selepas pegawai-pegawai polis lain melihatnya mencabul mangsa.

Lelaki berusia 45 tahun itu tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa. Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan mencabul dan satu tuduhan mencabul kehormatan wanita.

Tujuh lagi tuduhan diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa pesalah merupakan seorang pegawai polis berpangkat inspektor stesen. Dia ditempatkan bersama pasukan tindak balas di sebuah pusat polis kejiranan.

Antara 2015 dengan 2019, dia melakukan gangguan seksual terhadap dua pegawai polis wanita, kini berusia 27 dan 34 tahun, yang merupakan orang bawahannya.

Insiden pertama berlaku pada Oktober 2015. Pesalah sedang mengendalikan panggilan yang meminta bantuan polis ketika dia dan mangsa lebih berusia itu sedang melakukan rondaan bersama.

Ketika mangsa mencapai ke dalam kenderaan polis untuk mengambil beberapa surat, pesalah memerhatikannya ketika beliau membongkok lalu mengeluarkan kata-kata lucah.

Pada November 2015, pesalah sedang bersama beberapa anggota pasukannya termasuk mangsa yang lebih berusia di sebuah acara pasukan, di dalam sebuah bilik.

Mereka berada di ruang yang sempit dan ditugaskan untuk menyelesaikan teka-teki. Ketika mangsa sedang membaca petunjuk, dan tertumpu kepada teka-teki itu, pesalah berjalan ke arahnya dan memegang dadanya.

Pesalah kemudian mengaku kepada penyiasat tentang niatnya untuk mencabul mangsa itu.

MENCABUL MANGSA MUDA

Pada Ogos atau September 2017, pesalah sedang melakukan rondaan bersama mangsa lebih muda tersebut. Dia memandu sebuah kenderaan polis sementera wanita itu duduk di tempat duduk penumpang di hadapan.

Mangsa tersebut mempunyai sebuah terminal data, iaitu peralatan yang digunakan polis. Apabila pesalah berhenti di dua lampu trafik, dia mengangkat peralatan itu yang berada di atas pangku mangsa, sambil memegang bahagian dalam pahanya, berdekatan kemaluannya.

Selepas kali kedua, mangsa mengalihkan peralatan itu dari pangkunya dan meletakkannya di tempat lain di dalam kenderaan itu.

Pada 5 Mei 2019, mangsa yang lebih berusia itu sedang berada berdekatan tempat menyimpan senjata di sebuah pusat polis bersama pegawai-pegawai lain. Mereka sedang menunggu untuk mengeluarkan senjata mereka.

Pesalah berjalan ke arah mangsa yang sedang duduk di atas belebas. Dia berdiri di hadapan mangsa dan memegang kedua-dua pahanya.

Pegawai-pegawai lain menyaksikan apa yang berlaku dan satu siasatan terhadap kelakuan pesalah itu dimulakan tidak lama kemudian.

Pesalah dibenarkan memulakan hukuman penjaranya pada Jun.

Mediacorp sudah menghubungi Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita