Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inspektor balai polis didenda; tolak kepala 2 NSF ke arah kelangkangnya

Anggaran Waktu Membaca:
Inspektor balai polis didenda; tolak kepala 2 NSF ke arah kelangkangnya

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang inspektor balai polis yang menolak kepala dua orang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) ke arah kelangkangnya didenda S$3,000 pada Rabu (13 Apr). 

Yick Wai Hong yang berusia 47 tahun mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan kekerasan jenayah. Dia adalah penolong pegawai yang bertugas ketika kesalahan-kesalahan itu dilakukan sekitar Januari 2020. Kedua-dua mangsa diletakkan di bawah penyeliaannya. 

Pada 23 Januari 2020, Yick dan mangsa pertama, yang pada ketika itu berusia 21 tahun, bertugas dalam syif lewat malam. 

Yick bertanya kepada mangsa sama ada dia ingin berehat seketika. Apa yang dimaksudkannya adalah Yick akan mengambil alih tugas mangsa semasa dia berehat, menurut dokumen mahkamah. 

Mangsa menerima tawarannya itu. Yick kemudian menggunakan tangannya untuk menolak kepala mangsa ke arah kelangkang Yick. 

Tolakan itu tidak keras tetapi tidak dijangkakan dan Yick tahu bahawa perbuatannya itu mungkin akan menyebabkan kemarahan mangsa, kata Timbalan Pendakwa Raya Tan Yen Seow. 

Muka mangsa hanya "sejengkal jari" dari kelangkang Yick dan mangsa berasa terkejut dan jijik terhadap apa yang berlaku, menurut pendakwa. 

Mangsa juga bertanggapan bahawa tindakan Yick itu ibarat "menyalahgunakan kuasa dan merupakan sejenis gangguan seksual", menurut Encik Tan. 

Mangsa meninggalkan bilik itu dan menyambung semula tugasnya selepas lima hingga 10 minit kemudian. Dia tidak lagi berurusan dengan Yick selepas itu. 

Keesokan harinya, mangsa melaporkan kejadian tersebut dalam borang maklum balas yang diterimanya bagi tarikh dia selesai menjalani NS. Dia juga membuat aduan polis setelah berbincang dengan para pegawai atasan. 

Selepas itu, para pegawai atasan mangsa bertanya sama ada NSF lain turut mengalami insiden serupa semasa dengan Yick. 

Ini mendorong mangsa kedua, yang ketika itu berusia 23 tahun, untuk mendedahkan bahawa Yick juga pernah berkelakuan tidak senonoh terhadapnya sekitar atau sebelum Januari 2020. 

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman denda, dengan jumlahnya ditetapkan mengikut budi bicara mahkamah. 

Dalam rayuannya, peguam bela Yick berkata tiada niat seksual pada tindakan anak guamnya dan berhujah Yick setakat mahu mengingatkan para pegawai muda tentang betapa pentingnya untuk mereka melaksanakan tugas dengan tekun. 

Pasukan Polis Singapura (SPF) memberitahu Mediacorp bahawa ia sudah menggantung tugas Yick pada 8 April 2021. Ia juga sudah memulakan tindakan dalaman terhadapnya menyusuli sabitan kesalahannya. 

Para pegawai polis dikehendaki menegakkan undang-undang dan mengekalkan piawai disiplin yang tinggi, menurut SPF. 

"Kami akan menangani para pegawai yang melanggar undang-undang dengan tegas, termasuk mendakwa mereka di mahkamah." 

Kesalahan menggunakan kekerasan jenayah tanpa provokasi boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan