Skip to main content

Singapura

Insiden tangan penumpang warga SG tersekat dalam pemegang cawan pesawat SIA curi perhatian ramai

Anggaran Waktu Membaca:
Insiden tangan penumpang warga SG tersekat dalam pemegang cawan pesawat SIA curi perhatian ramai

Gambar: kdarshen/TikTok

Diterbitkan : 05 Oct 2023 10:12AM
SINGAPURA: Seorang penumpang pesawat berdepan detik cemas apabila tangannya tersekat di dalam lubang pemegang cawan tempat duduk semasa dalam penerbangan dari Singapura menuju Vietnam, dengan menaiki pesawat Singapore Airlines.

Dalam kejadian itu, warga Singapura yang dikenali sebagai Abraham, 29 tahun, dirakam sedang bergelut untuk mengeluarkan tangannya daripada tempat letak cawan tersebut.
Rakannya, Darshen, merakam video kejadian sebelum dia memanggil pramugari bagi membantu Abraham.

Pramugari tersebut cuba membantu mengeluarkan tangan Abraham, namun tidak berjaya.

Abraham meminta agar dia diberikan mentega untuk digunakan sebagai pelincir bagi mengeluarkan tangannya, namun pramugari berkenaan memberitahu bahawa dia tidak mempunyai mentega.

“Sejujurnya, ia berlaku disebabkan idea dia sendiri. Dia tertanya-tanya sama ada tangannya muat untuk dimasukkan ke dalam pemegang cawan itu, namun akhirnya tersekat,” kata Darshen pada hantaran video tersebut.

Tambah Darshen, situasi cemas itu berlaku selama kira-kira 10 minit sebelum Abraham akhirnya dapat mengeluarkan tangannya secara normal.

“Terdapat seorang lelaki duduk di hadapan kami. Dia terkejut dan menyangka Abraham bergurau. Dia kemudian menyuruh Abraham berdiri,” kata Darshen.

Menurutnya, selepas mengikuti arahan tersebut dan mencuba sedaya upaya, Abraham akhirnya berjaya mengeluarkan tangannya daripada pemegang cawan itu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita