Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insiden serangan Kamal Adli: Sejauh mana tahap keselamatan di tapak acara perlu dinilai semula?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Pelakon popular Malaysia, Kamal Adli, pada Selasa (14 Mac) tampil mengeluarkan kenyataan pertama selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan pada kepala selepas diserang Ahad lalu.

Menerusi akaun Instagramnya, Kamal memaklumkan keadaannya semakin stabil namun masih memerlukan ubat untuk melawan rasa sakit serta memulihkan kecederaannya.

Dalam pada itu, dia mengingatkan orang ramai agar menjaga keselamatan sepanjang masa.

"Salam, Alhamdulilah, amin Kamal semakin stabil tapi masih 'under medication' untuk tahan sakit dan nanah dan lebam lebam di badan dan dijaga isteri saya.

"Terima kasih atas doa kalian terutama artis artis di gerai dan juga orang orang Malaysia, Singapura yang tolong Kamal.

"Cuma Kamal harap semua orang tolong jaga keselamatan kerana kita tak tahu siapa suka atau benci kita," jelasnya.

Dalam catatan terbaru itu, Kamal turut meminta orang ramai mendoakan isterinya Uqasha Senrose yang masih trauma akan kejadian itu.

"Doakan untuk isteri saya yang masih trauma pasal isu ini, saya sayang isteri saya, yang ketuk saya sorang je bukan satu Singapura, jangan gaduh-gaduh," katanya lagi.
Keadaan Kamal Adli selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura berikutan serangan di Singapore Expo pada 12 Mac 2023. (Gambar: kamaladli/Instagram)
Kes serangan itu menimbulkan persoalan tentang sejauh mana tahap keselamatan di tapak acara boleh dipertingkatkan lagi.

Pengacara Roslan Shah yang sering membawa artis seberang tambak ke Singapura berharap tahap keselamatan bagi acara-acara yang melibatkan selebriti Malaysia dapat dipertingkatkan lagi pada masa depan.

Menurutnya, kejadian di acara Hari Raya Mega Sale 2023 itu perlu dijadikan sebagai pengajaran tentang peri pentingnya tahap keselamatan yang tinggi bukan sahaja bagi rakan-rakan artis tetapi juga pengunjung dan pemilik kedai.

"Pada masa akan datang, beberapa pegawai keselamatan mungkin boleh dikerahkan untuk meronda dan bagi melakukan pemeriksaan," ujar Encik Roslan yang turut berada di tempat kejadian semasa serangan berlaku.

Ditanya sama ada kejadian itu akan menjejas cara artis dan pengunjung boleh beramah mesra, Encik Roslan berpendapat mereka masih boleh bergaul seperti biasa memandangkan acara sedemikian selalu dinanti-nantikan bukan sahaja peminat tetapi juga para artis Malaysia.

Namun, beliau menekankan pihak penganjur dan artis masih perlu lebih berhati-hati dan berwaspada.

Penganjur acara dan syarikat MegaXpress International semasa diminta mengulas berkata kejadian serangan seumpama itu adalah kali pertama berlaku dalam sejarah 22 tahun syarikatnya mengendalikan acara.

Tambahnya, tahap keselamatan acara seterusnya akan ditingkatkan.
Sementara itu, lelaki yang menyerang Kamal Adli sudah didakwa di mahkamah pada Selasa (14 Mac) kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

Mahkamah menetapkan agar Muhammad Nabil Rashid, 33 tahun, direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.

Sebutan semula kesnya akan dibuat pada 28 Mac.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan