Insiden pegawai LTA maut: Lelaki dikejar ternyata memang diburu CNB, 2 wanita ditangkap bersamanya
SINGAPURA: Lelaki yang dikejar pegawai penguatkuasaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada awal pagi Selasa (4 Jun) ternyata diburu Biro Narkotik Pusat (CNB) kerana melakukan beberapa kesalahan berkaitan pengambilan dadah.
Kesnya juga melibatkan dua lagi wanita, masing-masing berusia 17 tahun dan 33 tahun.
Mereka ditangkap pada masa yang sama lelaki berusia 18 tahun itu diberkas.
Lelaki berkenaan diberkas antara lain kerana gagal berhenti semasa diarah berbuat demikian oleh seorang pegawai dan menunggang motosikal secara berbahaya.
"(Mereka) ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah termasuk memiliki peralatan dadah dan senjata-senjata berjadual," menurut Dr Faishal.
Pada awal pagi Selasa (4 Jun), pegawai penguatkuasaan LTA, Encik Zdulfika Ahakasah, maut semasa mengejar lelaki itu di Ekspreswe Seletar (SLE).
Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan melibatkan sebuah motosikal, dua lori dan sebuah van di SLE menghala ke Ekspreswe Bukit Timah, berdekatan susur keluar Ekspreswe Tampines, kira-kira pukul 10.40 pagi.
Video kemalangan itu tular di media sosial dan ia menunjukkan Allahyarham Zdulfika hampir berhenti bersebelahan seorang penunggang motosikal di bahu jalan.
Namun, penunggang itu tiba-tiba memecut lalu membelok ke kanan untuk menuju susur keluar ekspreswe. Encik Zdulfika lantas mengejarnya tetapi merempuh penghadang jalan.
"Sedang siasatan diteruskan, kami komited untuk memastikan keadilan akan dilaksanakan. Ingatan saya bersama keluarga Zdulfika pada masa-masa sukar ini," tulis Dr Faishal yang turut mengucapkan takziah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.