Insiden di Gereja St Joseph perlu dipandang serius; tempat ibadah mesti terus jadi ruang selamat: Faishal
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam diseru agar berdiri teguh bersama para penganut Kristian berikut kejadian penemuan barangan yang mencurigakan di Gereja St Joseph pagi tadi (21 Dis).
Dalam satu catatan di media sosial, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata ini seperti mana masyarakat pelbagai agama tampil memberikan sokongan kepada umat Islam di sini selepas insiden di Masjid Al-Istiqamah pada September lalu.
“Semangat saling menjaga dan menyokong merentas kepercayaan inilah yang mesti terus kita pupuk. Marilah kita kekal tenang, bersabar dan bersatu. Bersama-sama, kita harus mempertahankan fabrik sosial yang kukuh yang telah dibina selama ini,” ujar Dr Faishal yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Ehwal dalam Negeri.
Dalam satu kemas kini oleh Pasukan Polis Singapura (SPF), barang mencurigakan itu didapati tidak berbahaya.
"Saya amat terkesan dengan insiden yang berlaku di Gereja St Joseph pagi ini. Walaupun objek yang ditemui telah disahkan tidak berbahaya, kejadian sedemikian tetap menimbulkan keresahan dan harus dipandang serius," kata Dr Faishal.
TEMPAT IBADAH MESTI TERUS JADI RUANG SELAMAT
Beliau menambah bahawa rumah-rumah ibadat perlu kekal sebagai ruang selamat untuk masyarakat beribadah dengan aman.
"Tempat-tempat ibadah, sama ada gereja, masjid, kuil atau rumah ibadat lain, mesti sentiasa kekal sebagai ruang yang selamat, di mana masyarakat mereka dapat beribadah dan berhimpun dengan aman," jelas Dr Faishal.
"Sebarang kejadian yang mengancam rasa selamat ini boleh menjejaskan kepercayaan dan keharmonian yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat," tambah beliau.
Sebagai negara berbilang kaum dan agama, Dr Faishal menekankan bahawa nilai saling menghormati, kefahaman antara satu sama lain serta kebebasan mengamalkan agama tanpa rasa takut merupakan asas penting jati diri masyarakat.
"Perbuatan yang mencetuskan keresahan atau memecahbelahkan masyarakat tidak boleh diterima dan terus berwaspada dalam memelihara keharmonian sosial kita," tegasnya.
Di gereja yang sama di Upper Bukit Timah itu, seorang paderi ditikam di bahagian mulut semasa satu upacara misa berlangsung pada November tahun lalu.
PENTING UNTUK BERDIRI TEGUH, BERSATU HATI: MUIS
Dalam pada itu, MUIS turut melahirkan keprihatinan terhadap insiden tersebut.
Dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman media sosial, MUIS menyatakan kejadian-kejadian tempat ibadah lain termasuk Masjid Al-Istiqamah menekankan lagi keperluan untuk semua masyarakat terus berwaspada.
"Dalam kejadian-kejadian tersebut, masyarakat berbilang agama di Singapura berdiri bersama dalam semangat saling menyokong, mencerminkan komitmen bersama terhadap ketenangan, solidariti dan keharmonian sosial. Situasi sedemikian tidak harus dibiarkan untuk mencetuskan rasa takut atau perpecahan," ujar MUIS.
Menurutnya lagi, ketenangan, perpaduan dan kepercayaan terhadap institusi kita adalah amat penting pada saat-saat seperti ini.
Ini kerana berdiri bersama merentasi agama dan masyarakat dapat memelihara keamanan serta daya tahan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.