Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insiden Bionix: Kapten SAF didapati bersalah atas kematian NSF Liu Kai

Seorang kapten Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) didapati bersalah atas perbuatan terburu-buru yang dikaitkan dengan kematian seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) selepas mangsa terperangkap di dalam sebuah Land Rover yang dihempap kenderaan Bionix tiga tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Insiden Bionix: Kapten SAF didapati bersalah atas kematian NSF Liu Kai

Upacara persemadian CFC Liu Kai pada 2018. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 11:38AM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 11:42AM

SINGAPURA: Seorang kapten Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) didapati bersalah atas perbuatan terburu-buru yang dikaitkan dengan kematian seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) selepas mangsa terperangkap di dalam sebuah Land Rover yang dihempap kenderaan Bionix tiga tahun lalu.

Ong Lin Jie, 30 tahun, pada Isnin (22 Nov) didapati bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan terburu-buru yang membawa kepada pembunuhan tanpa niat kerana gagal menjaga jarak 30 meter antara kedua-dua kenderaan itu.

Ong, seorang pegawai sepenuh masa dan jurulatih platun di Rejimen Latihan Unit Berperisai ketika itu sedang mengambil bahagian dalam latihan selama tiga hari bersama mangsa, Liu Kai, 22 tahun berdekatan Kem Sungei Gedong pada November 2018.

Ong mengarahkan mangsa yang dinaikkan pangkat secara anumerta ke Korporal Kelas Pertama (CFC) selepas kematiannya, supaya memotong Kenderaan Gempur Bionix Infantri (IFV) tanpa terlebih dahulu berkomunikasi dengan Bionix itu dan ketika ia belum selamat untuk berbuat demikian.

Disebabkan oleh arahannya itu, Bionix tersebut, iaitu sebuah kenderaan berperisai yang dilengkapi dengan meriam atau pelancar grenad dan mesingan, mengundur ke arah Land Rover berkenaan lalu menghempap CFC Liu yang berada di tempat duduk pemandu kenderaan tersebut.

Pendakwa menegaskan bahawa Ong secara terburu-buru mengarahkan CFC Liu supaya memotong Bionix "walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia berbahaya untuk berbuat demikian dalam keadaan seperti itu."

"Tindakan terburu-burunya itu meletakkan Land Rover tersebut dalam jarak yang berbahaya dengan BX13 yang merupakan punca besar berlaku nahas itu dan akhirnya kematian Liu Kai," menurut pendakwa.

Ong yang sudahpun digantung daripada tugasnya akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada Disember untuk mengemukakan rayuan dan hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Atas tindakan terburu-buru yang membawa kepada pembunuhan tanpa niat, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sebilangan individu turut diheret ke mahkamah berhubung insiden tersebut dengan tiga lelaki didenda pada Disember 2019 kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi dengan menyebarkan gambar-gambar kemalangan itu. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan